fbpx
Karupaya (dua dari kiri) dan Thinagaran dituduh mengangkut migran di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Peniaga kantin, penyelia tapak dituduh angkut 16 migran Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengangkut 16 migran warga Myanmar yang diseludup di Plaza Tol Jitra arah selatan, dekat sini pada bulan lalu.

Pertuduhan terhadap K. Karupaya, 47, dan P. Thinagaran, 43, itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Karupaya yang merupakan seorang peniaga kantin dan Thinagaran, seorang penyelia tapak.

Mengikut pertuduhan, Karupaya didakwa mengangkut 11 migran yang diseludup menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex di Plaza Tol Jitra arah selatan kira-kira pukul 4 pagi, 14 Januari lalu.

Thinagaran pula didakwa mengangkut lima migran yang diseludup menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada dua tertuduh terbabit dan kes akan disebut semula pada 13 April depan.

Kosmo! pada 17 Januari lalu melaporkan tindakan seorang bapa membawa anak perempuan berusia 16 tahun untuk mengangkut 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini mengundang padah apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di Plaza Tol Jitra.

Turut ditahan dalam Op Taring Delta kira-kira pukul 4 pagi itu ialah seorang lagi lelaki berusia lingkungan 40-an. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI