KUANTAN – Pahang menjadi perintis dalam pelaksanaan aplikasi StudentQR secara menyeluruh dalam usaha memperkukuh pembangunan sahsiah murid berteraskan adat, identiti dan jati diri negeri.
Melalui aplikasi berkenaan setiap murid akan memiliki kod QR identiti dalam bentuk lencana atau kad pengenalan murid yang digunakan bagi merekod penglibatan mereka dalam aktiviti berkaitan adat dan budaya di sekolah.
Selain aspek sahsiah dan budaya, sistem sama turut digunakan bagi menyelaras urusan pentadbiran sekolah termasuk pengurusan bayaran yuran dan koperasi sekolah secara digital sekaligus menjadikan pengurusan lebih teratur, cekap dan sistematik.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Mat Isa berkata, pelaksanaan aplikasi itu telah mendapat kelulusan rasmi dan akan dilaksanakan di semua sekolah secara berperingkat.
“Ia dikaji dengan teliti supaya tidak menambah beban guru dan apa yang ditawarkan ialah penglibatan ibu bapa yang disepadukan komunikasinya dengan guru.
“Input mungkin sama atau berbeza tetapi kita akan fokus kepada matlamat yang hendak dicapai,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Adat dan Identiti Murid Pahang : Aplikasi StudentQR yang disempurnakan Pengerusi Eksekutif Jaxer Digital Sdn. Bhd. Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Meriam Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.
Menurut Ahmad Zamri pelaksanaan program secara menyeluruh itu mampu menjadikan Pahang sebagai perintis dan contoh kepada negeri lain dalam memperkasa pendidikan berasaskan sahsiah, nilai dan jati diri murid.
Sementara itu Pengasas StudentQR, Syed Huzaifah Syed Omar berkata, pihaknya optimis aplikasi dibangunkan dapat mencapai objektif ditetapkan.
“Kita mahu ibu bapa terlibat sama dalam pembinaan karakter dan sahsiah anak-anak sebelum pembangunan seterusnya di sekolah,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE














