SHAH ALAM – Senjata tiruan seperti M4, M16 dan raifal tempur antara 76,118 barang kes dilupuskan yang disita sepanjang 2024 hingga awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pelupusan kesemua barangan bernilai RM1.5 juta melibatkan 283 kes kertas siasatan itu selepas kelulusan diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya.
“Senjata tiruan itu digunakan bagi jenayah ugutan namun kes melibatkannya tidak begitu serius dalam satu atau dua kes sahaja.
“Kita siasatnya dibawah Akta Senjata 1960 iaitu kesalahan untuk memilikinya,” katanya pada majlis pelupusan barang kes di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Azlina Rasdi; Majistret Mahkamah Shah Alam, Muhammad Syafiq Sulaiman serta Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan dan Perundangan) Asisten Komisioner Nor Azizulkifli Mansor.
Menurut Ramsay, berdasarkan pecahan keseluruhan barangan kes itu menunjukkan sejumlah 1,185 barang kes am merangkumi kenderaan, senjata berbahaya seperti pisau, parang dan batang besi, beg, telefon bimbit serta dokumen melibatkan 34 kertas siasatan.
Beliau memaklumkan turut dilupuskan adalah sebanyak 73,008 barang kes kontraban melibatkan rampasan arak dan rokok bagi empat kertas siasatan, manakala 775 barang kes berkaitan bitcoin melibatkan 21 kertas siasatan turut dilupuskan.
“Selain itu, sejumlah 1,150 barang kes melibatkan perjudian, noda dan enakmen hiburan juga antaranya komputer, laptop, telefon bimbit, tablet, minyak urut, tuala, tiub pelincir, tisu basah, kondom, kunci atau kad akses melibatkan 224 kertas siasatan.
“Pelupusan juga membabitkan wang tunai berjumlah RM42,607 yang telah dilucuthak dan diserahkan kepada Perbendaharaan Malaysia hasil pelbagai siasatan termasuk kes kontraban, judi serta noda dan hiburan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














