PETALING JAYA – Tragedi hitam menjadi mangsa ekploitasi fizikal yang dilalui ibunya meninggalkan trauma hebat buat pelakon, Puteri Balqis sekali gus sukar menaruh kepercayaan kepada orang lain.
Lebih teruk, penderitaan ditanggung insan kesayangannya, Norashikin Mohd Aziz membawa impak besar sehingga pernah membuatkan Puteri Balqis menjadi individu pendendam.
‘Disebabkan apa yang ibu lalui, saya cuba belajar psikologi supaya perkara itu tidak berulang lagi. Bukan belajar psikologi supaya kita boleh buat benda yang sama, tidak. Tetapi supaya kita tahu permainan mereka.
“Kemudian, bermulalah daripada mata kabur jadi mata tiada cahaya sebab waktu ibu saya cerita tentang apa yang berlaku, saya sebenarnya dipenuhi dendam.
“Bila seorang ibu diperlakukan begitu bertahun-tahun dan banyak berdiam. Anak dia yang akan berdendam.
“Saya bawah umur 12 tahun dan masih kecil. Trauma dia, Ya Allah,” katanya menerusi sebuah sesi audio siar, Sembang Ohh Yeahhh! yang tular, baru-baru ini.
Menurut Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia ke- 19 itu, pengalaman berdepan manusia yang suka mengambil kesempatan menjadikan hidupnya seolah-olah gelap, tiada lagi hari-hari ceria.
“Saya tidak pernah jangka daripada mata kabur bertukar menjadi kisah ini. Kisah ini juga membuatkan mata saya tak ada cahaya.
“Waktu itu saya fikir saya sakit. Saya tak pernah terfikir yang ini akan jadi pengajaran yang saya tidak boleh percayakan sesiapa.
“Waktu kecil-kecil macam itu saya bukan main heboh lagi, gelak ceria borak dengan ini borak dengan itu, saya banyak belajar. Saya rasa tiada hala tuju sebab ibu tidak bagi tahu,” ujarnya.
Terdahulu, ibu kepada Puteri Balqis, Norashikin dalam satu pendedahan membongkar kisah hitam menjadi mangsa eksploitasi seorang artis wanita veteran dan ahli politik.
Dalam kejadian beberapa tahun lalu itu, Norashikin memdakwa diperangkap dua individu yang kononnya mahu membantunya mempertemukan dengan seorang doktor pakar yang bakal merawat masalah penglihatan Puteri Balqis.
Pendedahan wanita itu mencetuskan perdebatan apabila ramai netizen serta penggiat seni, masing-masing berharap akan ada tindakan undang-undang dikenakan terhadap pelaku. – KOSMO! ONLINE














