KUALA LUMPUR – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mula mengemukakan permohonan bagi menyertai program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia (SME Corp).
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, sebanyak RM117 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan lapan program PMKS yang merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman sepanjang tahun hadapan.
Menurut beliau, RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 telah menggariskan agenda penskalaan (scale up) PMKS dengan matlamat menaik taraf saiz perniagaan daripada mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana.
“Penskalaan PMKS merupakan agenda utama Kerajaan dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
“Sasaran Kerajaan adalah untuk meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030, sekali gus dijangka dapat melonjakkan sumbangan KDNK PMKS sehingga RM1 trilion,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perkongsian bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan sempena Hari Terbuka@Hab PMKS yang berlangsung pada 29 Januari lalu di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, di sini.
Hari Terbuka@Hab PMKS merupakan antara inisiatif SME Corp. Malaysia bagi memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama maklumat dan khidmat nasihat perniagaan kepada PMKS.
Sejak dilaksanakan pada Januari 2024, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama strategik melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pihak swasta.
PMKS yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai program RMK13 2026 boleh melayari laman sesawang www.smecorp.gov.my, mengikuti saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di Ibu Pejabat serta 12 Pejabat Negeri di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














