KUALA KEDAH – Bloomieja D’Florist yang beroperasi di lokasi strategik di Arked Mara di sini membuat perancangan masa depan untuk menjadikan asas bisnes itu menjadi pusat pemborongan bagi pelbagai jenis barangan hiasan termasuk bunga dan door gift.
Pengasas syarikat, Shariza Nadzri, berkeyakinan terhadap potensi perniagaan ini untuk jangka masa panjang memandangkan barangan hiasan termasuk bunga-bungaan dan aksesorinya diperlukan untuk pelbagai penganjuran majlis tidak kira yang kecil atau besar.
Beliau berkata, bersandarkan perkembangan ekonomi semasa, ia memberi peluang kepada penganjuran pelbagai majlis korporat, ahli politik, kenduri kawin atau bertunang atau program di sekolah dan juga di pejabat kerajaan, yang pastinya memerlukan penggunaan bunga dan yang utamanya adalah door gift.
“Ini adalah langkah awal kami dalam perniagaan secara kecil-kecilan, sebelum lebih serius melangkah ke fasa peralihan menjadi pusat borong,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Pembukaan Bloomieja D’Florist di sini baru-baru ini.
Shariza menerangkan, kedai fizikal ini menyediakan gubahan bunga dan door gift untuk pelbagai sambutan termasuk hari lahir, konvokesyen, hadiah kejutan, majlis pertunangan, perkahwinan serta acara korporat.
Ia ditawarkan pada harga serendah RM10 sehingga mencecah ratusan ringgit, bergantung kepada jenis gubahan dan bahan tempahan.
Menurutnya, selain bunga hiasan biasa, Bloomieja D’Florist turut menawarkan bunga kawat bulu, bunga kait benang, bunga sabun serta bunga segar, mengikut kehendak pelanggan. -KOSMO! ONLINE














