HULU TERENGGANU – Kekurangan diri dilahirkan tanpa kedua-dua kaki dan tangan bukan penghalang buat Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 19, untuk memburu cita-cita menjadi pereka dalaman.
Biarpun berdepan pelbagai rintangan, anak ketiga daripada empat beradik itu akhirnya diterima untuk melanjutkan pelajaran dalam kursus Pelukis Kanan Rekaan Dalaman di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) pada minggu lalu.
“Kursus tersebut bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3. Sebenarnya tawaran menyambung pelajaran telah diterima sejak pertengahan tahun lalu tetapi baru minggu lalu diterima mendaftar setelah kemudahan buat OKU disiapkan pengurusan TTITC.
“Sebelum ini, banyak tawaran institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat kemahiran diterima selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa ditolak ekoran ketiadaan kemudahan OKU fizikal seperti saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubok Batu di sini hari ini.
Terdahulu dia di santuni Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat yang menyerahkan komputer riba bagi kemudahan pembelajarannya.
Nur Damia Irsalina berkata, komputer riba dilengkapi perisian rekaan dalaman sumbangan Yayasan Ketengah tersebut amat diperlukan sepanjang tempoh setahun pembelajarannya di TTITC kelak.
Rozi pula berkata, pemberian komputer riba terbabit bagi menyuntik motivasi buat Nur Damia Irsalina terus melanjutkan pelajaran bagi memburu cita-cita.
“Ketengah mahu memastikan tiada seorang pun anak-anak di dalam wilayah Ketengah ini terlepas peluang melanjutkan pelajaran. Apatah lagi Damia insan instimewa yang melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya. – KOSMO! ONLINE














