PENDANG – Bakat seni dimiliki seorang pelajar autistik dari sebuah sekolah di Bukit Jenun, di sini, meraih perhatian dunia apabila lukisannya dipamerkan di beberapa negara termasuk Perancis dan Jepun.
Malah lebih membanggakan hasil karya kreatif Ainul Syeefa Zamrol, 15, pelajar Sekolah Model Khas Bukit Jenun yang mengetengahkan tema hidupan liar seperti penyu dan harimau terpilih untuk menghiasi kalendar sebuah syarikat perbankan sejak tiga tahun lalu.
Menurut ibunya, Suraya Abdul Rahman, 54, bakat Ainul Syeefa disedari seawal usia tujuh tahun ketika dia menyertai aktiviti melukis sempena satu pameran di Balai Seni Lukis, dekat sini.
“Pihak penganjur memuji lukisannya dengan mengatakan dia mampu pergi jauh. Seterusnya, saya dan suami, Zamrol Yaakub, 55, mendaftarkannya ke kelas lukisan. Langkah Ainul Syeefa tidak pernah terhenti sejak saat itu,” katanya di sini.
Jelasnya, sehingga kini anaknya yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi itu telah menghasilkan lebih 300 karya dan sering menerima jemputan untuk menyertai pameran lukisan di seluruh dunia.
“Ainul Syeefa menyertai pameran sejak 2019 termasuk di Indonesia,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Suraya berkata, bakat anaknya mula dikesan oleh syarikat kewangan berkenaan menerusi perkongsian hasil lukisan yang dimuat naik di akaun media sosial anak bongsunya itu sebelum ditawarkan untuk terlibat dalam penghasilan kalendar.
“Sudah tiga tahun Ainul Syeefa melukis untuk kalendar bank itu termasuk tahun ini. Selain itu, dia juga diberi peluang untuk melukis ilustrasi sampul duit raya sebuah syarikat minuman sempena Aidilfitri,” katanya.
Menyentuh tentang tema lukisan, kata Suraya, Ainul Syeefa yang gemar membaca buku cerita menjadikan kisah-kisah dongeng, terutama mengenai puteri raja, sebagai subjek utama karya lukisannya.
“Terbaharu, dia sedang menyiapkan lukisan Puteri Lindungan Bulan. Bagi setiap lukisan, dia akan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan kerana dia sangat teliti,” katanya.
“Sebagai anak autistik, saya memberi sepenuh kebebasan kepada Ainul Syeefa untuk berkarya dan setakat ini hasil karyanya meraih perhatian ramai,” katanya yang juga seorang guru.
Pengetua sekolah berkenaan, Jamkhuriyati Hussain pula berkata, Ainul Syeefa menjadi inspirasi kepada pelajar lain kerana bakat luar biasa yang dimilikinya.
“Sekolah bercadang untuk mewujudkan sebuah galeri khusus untuknya di sekolah ini yang mempamerkan kesemua karyanya. Selain itu, kami juga ingin bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menghasilkan mural karya Ainul Syeefa di dinding bangunan sekolah ini,” jelasnya.















