JAKARTA – Seorang guru besar sebuah sekolah di Indramayu, wilayah Jawa Barat mengalami kerugian sekitar 165 juta rupiah (RM40,000) selepas wang dana bantuan yang dibawanya dilarikan pencuri ketika dia membaiki tayar kereta pancit, lapor laman berita Indramayu Pikiran Rakyat semalam.
Lebih malang, kecurian berlaku cuma dalam masa 15 minit tanpa disedari.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.45 petang (waktu tempatan) semalam, mangsa, Burhanudin, bersama seorang guru dan pemandu bertolak dari sebuah bank sambil membawa dana bantuan sekolah (BOS).
Bagaimanapun, sebaik tiba di Kampung Larangan, tayar kereta dinaiki mereka tiba-tiba pancit.
Ketiga-tiga mereka kemudian keluar untuk memeriksa dan membaiki tayar tersebut.
“Tayar pancit betul-betul berhampiran masjid Kampung Larangan. Kami berhenti untuk memeriksa tayar sebelum mencari lokasi yang sesuai untuk pembaikan.
“Kami semua keluar untuk melakukan pembaikan,” kata Burhanuddin.
Tambahnya, selepas kira-kira 15 minit, dia terkejut melihat beg miliknya di tempat duduk hadapan telah hilang, di samping semua wang yang baru dikeluarkan dari bank.
“Jumlahnya kira-kira 165 juta rupiah. Sebanyak 68 juta (RM16,000) daripada dana bantuan SDN Krimun 2, 50 juta rupiah (RM11,700) daripada dana bantuan SDN Tamansari dan 47 juta rupiah (RM11,000) wang peribadi saya,” katanya.
Kejadian itu telah dilaporkan, dan ia disyaki bahawa suspek mengekori mangsa sejak mereka meninggalkan bank dan mungkin menggunakan paku untuk mengempiskan tayar kereta. – AGENSI














