fbpx
Keadaan treler yang dirempuh lori dalam kemalangan di Kilometer (KM) 433 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan awal pagi tadi. Foto BOMBA SELANGOR

Seorang maut, 5 penumpang cedera bas ekpres langgar treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 433 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini awal pagi tadi dipercayai berlaku apabila bas ekspres melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berada di lorong kiri.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, pelanggaran terbabit menyebabkan treler terbabas ke lorong kanan.

“Sebuah lori yang datang dari lorong kiri cuba mengelak bas terlibat, namun akhirnya melanggar pula belakang treler yang melintang di lorong tengah dan kanan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori yang membawa muatan semikonduktor berusia 37 tahun maut di lokasi kejadian kerana tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, pemandu bas, treler, kelindan lori serta lima penumpang bas mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Penumpang lain yang tidak cedera pula dibawa ke Terminal Bersepadu Selatan menggunakan bas gantian,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Insp Mohammadi Mt Abu di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, media melaporkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu menyebabkan kesesakan luar biasa kerana ketiga-tiga lorong terhalang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 5.12 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dan BBP Rawang digerakkan ke lokasi.

Katanya, seramai 31 mangsa terlibat kemalangan membabitkan bas ekspres jenis Scania, sebuah lori 10 tan serta sebuah treler.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN