fbpx
Abdul Rahim (dua dari kanan) merasmikan gimik pelancaran Kolej Islam As Sofa sambil diperhatikan Amirul Isma (kanan) dan Muhammad Fuad (dua dari kiri) pada majlis makan malam amal di Kuala Lumpur baru-baru ini.

As Sofa bakal bina kolej universiti RM15 juta di Rembau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) bakal mengembangkan lagi sayapnya dalam bidang pendidikan apabila melancarkan pembinaan Kolej Islam As Sofa bertaraf universiti dengan anggaran kos RM15 juta di Rembau, Negeri Sembilan.

Bangunan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun di kawasan seluas 3,251 meter persegi itu menjadi mercu tanda ter­tinggi SEG dalam memartabatkan pendidikan berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ketua Pegawai Eksekutif SEG, Dr. Mohd. Amirul Isma Md. Yusof berkata, bangunan kekal itu adalah syarat utama yang mesti disediakan lengkap dengan prasarana untuk dinaik taraf menjadi kolej universiti.

Katanya, sebagai langkah permulaan, pihaknya telah me­ngadakan majlis makan malam amal bertujuan mencari dana awal bagi menampung sebahagian kos yang ditetapkan.

“Pada mulanya bangunan itu hendak didirikan di Mantau, Negeri Sembilan tetapi selepas diteliti tanah di situ tidak sesuai sebelum kami beralih ke Hulu Langat, namun bekalan elektrik tidak mencukupi untuk menampung bangunan.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yassin tahun lalu, kami bersetuju untuk bina kolej itu di sana (Rembau).

“Dana masih belum mencukupi dan kami amat berbesar hati sekiranya masyarakat dan pihak korporat dapat membantu menyalurkan dana supaya pembinaan bangunan itu dapat direalisasikan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Selain Abdul Rahim, majlis makan malam itu turut dihadiri pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin bersama empat ulama Arab Saudi keturunan Sayyid Ahmad Ibn Idris iaitu Prof. Dr. Sayyid Toha ibn Sayyid Muhammad al Hasan al Idrisi, Sayyid Walid ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi, Sayyid Ali ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi dan Dr. Sayyid al Hasan ibn Sayyid Ali al Idrisi.

Menurut Amirul Isma selain itu, majlis tersebut juga bagi me­raikan graduan As Sofa yang te­lah menamatkan pengajian pe­ringkat Sarjana dan PhD dalam tempoh lima tahun dan kejayaan Sheikh Muhammad Fuad mendapat PhD dari Universiti Mohammed V, Maghribi Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhd. Sufi Ibrahim al Hafiz berkata, antara syarat membina kolej universiti adalah ia berupaya menampung minimum 1,000 pelajar dan mempunyai program yang diakreditasi.

“Setakat ini kami mempunyai empat program dengan dua daripadanya telah mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia. Kami juga sedang berusaha melengkapkan syarat-syarat lain, termasuk memastikan 60 peratus pensyarah mempunyai status PhD,” katanya.

Menurut Muhd. Sufi, bangunan itu merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) yang bermula daripada tadika, sekolah rendah, mene­ngah dan kolej.

Katanya, YSNS mempunyai niche tersendiri di samping menyediakan pendidikan arus perdana, mereka juga menekankan tarbiah dan turath selain mempunyai hubungan eksklusif dengan Maghribi dengan menghantar lebih 170 pelajar dalam tempoh 12 tahun.
“Harapan kami adalah untuk terus bersungguh-sungguh dalam merealisasikan pemba­ngunan kampus tetap ini. Selama 14 tahun As Sofa telah menyewa bangunan, dan sudah tiba masanya untuk kami mempu­nyai bangunan sendiri,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN