KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu suspek lelaki yang disyaki cuba melakukan samun selain mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita di sebuah stesen minyak, di Taman Tun Dr Ismail, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 8.30 pagi dari seorang pengadu wanita berusia 25 tahun.
Menurut beliau, kejadian cubaan samun berlaku ketika pengadu bersama rakannya ingin mengisi angin tayar kereta pada pukul 7.10 pagi.
“Ketika itu, datang suspek lelaki menaiki motosikal merapati kenderaan dan cuba membuka pintu kereta untuk mengambil beg pengadu yang diletakkan di dalam.
“Pengadu dan rakan segera menghalang suspek membuka pintu dan berlaku pergelutan sehingga pengadu ditumbuk di tangan dan kepala oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, suspek yang gagal mendapatkan barang berharga atau wang tunai kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Beliau berkata, risikan masih dijalankan memandangkan motosikal yang digunakan oleh suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Lakaran fotofit dibuat dan pihak polis sedang giat memburu suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














