Hilmi (kanan) dan Hishamuddin bergambar di hadapan Balai Polis Toyamanishi selepas menemui Faiq di Jepun semalam.

‘Kami dah jumpa Faiq, dia ada di…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda, Muhammad Faiq Zafran Mohd. Jailani, 23, yang hampir tiga bulan gagal dihubungi selepas ditahan di Jepun kerana dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan akhirnya ditemui dalam keadaan lesu kelmarin.

Bapanya, Mohd. Jailani Ambak, 52, berkata, Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun yang mewakilinya berjaya menemui Muhammad Faiq Zafran atau dipanggil Faiq yang kini berada di dalam tahanan di Balai Polis Toyamanishi, Jepun.

“Lega saya diberitahu Faiq yang ditemui dalam keadaan si­hat biarpun nampak lesu ekoran kurang tidur.

“Kata Faiq, dia tidak dapat tidur lena kerana terlalu memikirkan nasibnya yang bagaikan telur di hujung tanduk berseorangan di Jepun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, pertemuan Hil­mi dengan Faiq di di Balai Polis Toyamanishi turut ditemani Se­tiausaha Agung Pertubuhan Ke­manusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Katanya, Hilmi juga membe­ritahu pertemuan mereka dengan Faiq ditemani jurubahasa bahasa Inggeris yang menjadi prasyarat pihak berkuasa Jepun.

Apa-apapun saya harap pertemuan dengan YB Hilmi tersebut dapat sekurang-kurangnya melegakan emosi anak saya (Faiq) yang selama ini berseorangan menghadapi pihak berkuasa Jepun.

“Pertemuan mereka bertiga juga bagi mendapatkan gambaran awal prosedur perundangan di Jepun yang berkemungkinan dihadapi Faiq,” katanya.

Mohd. Jailani berkata, Hilmi dan Hishamuddin juga kini sedang menguruskan khidmat peguam yang bakal mewakili Faiq kelak.

“Sepatutnya saya ikut sekali ke Jepun bersama YB Hilmi semalam (kelmarin) tetapi tangguhkan dahulu. Saya beri kepercayaan kepada beliau (YB Hilmi) untuk mendapatkan keadilan buat anak saya.

“Begitupun jika disahkan lama lagi Faiq akan ditahan di Jepun, saya mahu menemuinya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, MHO kini dalam proses untuk menemui peguam yang dilantik pihak berkuasa Jepun untuk mewakili Faiq pada masa terdekat.

“Kami mahu mendapatkan fakta lengkap kes berkenaan. Sewaktu bertemu Faiq, kami berjanji untuk mencari jalan terbaik bagi membantunya dibebaskan daripada tahanan sesegera mungkin. Buat masa ini, kami akan berada di Jepun sehingga kes selesai,” katanya.

Kosmo! pada 24 Januari lalu melaporkan, seorang graduan politeknik hilang sejak November tahun lalu dan dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas ditahan pihak polis di Jepun kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan telefon.

Faiq dipercayai dieksploitasi sindiket penipuan sebelum ditahan di Toyama Minami Police Station, Jepun dengan rampasan wang dianggarkan berjumlah kira-kira empat juta yen (RM101,400).

Mangsa dipercayai direkrut oleh individu yang dikenalinya untuk bekerja di luar negara sebelum dibawa ke Jepun. Faiq yang menamatkan pengajian diploma di sebuah politeknik di Perlis pada September 2025 memaklumkan kepada keluarga mahu mencari pekerjaan di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

Tidak lama selepas itu, keluarga dimaklumkan bahawa mangsa berada di Jepun dan sejak 19 November 2025 tidak lagi dapat dihubungi.

Muhammad Faiq Zafran dipercayai telah diberikan tugas sebagai transporter untuk mengambil duit sebanyak empat juta yen dan jongkong emas bernilai 11 juta yen di sebuah rumah seorang penduduk warga emas di Jepun.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN