PETALING JAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menafikan sebarang kaitan dengan mana-mana pihak yang disebut dalam e-mel yang didakwa melibatkan kes Jeffrey Epstein.
Menerusi kenyataan ringkas di Instagram beliau hari ini, Anwar berkata dirinya hanya baru dimaklumkan bahawa wujudnya pihak luar yang mahu bertemu dan menggunakan namanya dalam e-mel berkenaan.
“Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam e-mel melibatkan kes Epstein,” katanya.
Menurutnya, e-mel itu merujuk kepada kejadian yang sudah berlalu ‘belasan tahun’ dan beliau menegaskan langsung tiada hubungan dengan mana-mana individu yang berbalas e-mel tersebut.
“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam e-mel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas e-mel itu, terutama Epstein,” ujarnya.
Anwar turut menutup kenyataan ringkas itu dengan memaklumkan beliau akan meneruskan urusan lawatannya di Johor Bahru.
“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru. #DoneExplain,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mula menyiarkan sejumlah besar dokumen baharu berkaitan Epstein secara berperingkat setelah dokumentari mengenainya mula disiarkan di platform Netflix.
Tindakan DOJ menyiarkan dokumen tersebut susulan undang-undang ketelusan yang mewajibkan pendedahan fail tersebut kepada umum.
Pendedahan terbaharu itu mencetuskan semula perhatian global apabila pelbagai bahan termasuk rekod mahkamah dan korespondensi lama memaparkan nama tokoh berprofil tinggi dari pelbagai negara.
Semalam, Armada Bersatu Malaysia menuntut penjelasan segera daripada Anwar sama ada beliau pernah mempunyai sebarang bentuk interaksi dengan Epstein atau mana-mana individu sebagaimana pendedahan dokumen rasmi DOJ yang terkandung dalam arkib Epstein Files.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu Malaysia, Na’im Brundage berkata, penjelasan juga perlu diberikan berhubung dakwaan potensi kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dilihat mempunyai peluang keemasan kepada institusi kewangan asing.- KOSMO! ONLINE














