RANTAU PANJANG – Sebanyak sembilan buah stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan yang mencatatkan jualan tinggi berbanding kawasan lain berkemungkinan menjadi lokasi tumpuan penyeludup untuk menyeludup petrol dan diesel.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, siasatan mendapati, dapatan tersebut diperoleh menerusi penempatan pegawai statik KPDN di stesen minyak yang sudah dikenal pasti di empat daerah sempadan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.
Menurutnya, kesemua stesen minyak itu dilihat mencatatkan penurunan jualan minyak petrol dan diesel selepas pegawai statik KPDN menjalankan operasi di premis tersebut.
“Sembilan buah stesen minyak itu mencatatkan jualan petrol yang tinggi berbanding lokasi lain. Apabila pegawai statik KPDN bertugas, jualan petrol di stesen-stesen minyak itu menurun dengan ketara.
“Jadi, stesen tersebut berkemungkinan menjadi tumpuan penyeludup untuk menyeleweng bahan api itu. Buat masa ini, kita sedang menjalankan pemantauan kerana ia melibatkan isu ketirisan subsidi yang tinggi jika benar dakwaan tersebut berlaku,” katanya selepas melawat operasi sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Azman memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada penjualan petrol yang tinggi di stesen minyak itu selari dengan keperluan dan ekonomi penduduk tempatan.
Menurutnya, setakat ini, KPDN tiada cadangan untuk mengehadkan penjualan bekalan petrol dan diesel kepada sembilan stesen minyak yang dikenal pasti itu sebagai langkah segera untuk mengurangkan kegiatan penyeludupan.
“Pelbagai faktor yang perlu dilihat terutamanya jumlah penduduk dan kegiatan ekonomi setempat. Segala keputusan akan dibuat bergantung kepada data yang diperoleh.
“Setakat in, pegawai statik KPDN akan menjalankan pemantauan di stesen-stesen minyak yang mempunyai jualan harian yang tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














