PANTAI merupakan antara lokasi pilihan untuk menenangkan jiwa, menikmati keindahan alam semula jadi dan melakukan pelbagai aktiviti berkaitan air.
Dengan cahaya matahari yang terik, angin sepoi-sepoi dan air yang berkilauan bersama deruan ombak menjadikan pantai tempat percutian yang sempurna daripada kesibukan kehidupan seharian.
Namun, di sebalik keindahan pantai, ia juga boleh menjadi lokasi berbahaya jika tidak berhati-hati sama ada kerana ancaman kondisi lautan, pemangsa, haiwan berbisa dan pencemaran sampah. Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima pantai paling berbahaya di dunia seperti dilaporkan Bibalex dan The CultureTrip.
1- Pantai Pulau Fraser

DENGAN gabungan bukit berpasir, hutan dan tasik, Pulau Fraser, Queensland, Australia merupakan Warisan Dunia. Dikenali sebagai K’gari, ia pulau pasir terbesar di dunia dengan pantai sepanjang 122 kilometer (km).
Di sebalik keindahannya, pantai ini disifatkan banyak pihak sebagai pantai No.1 paling berbahaya di dunia. Ombaknya ganas dan deras. Tidak ada pengawal pantai mahupun bendera amaran di situ. Para pelancong yang sekadar mahu ‘mencelup’ kaki di air pun akhirnya mendapati diri tidak dapat kembali ke pesisiran.
Pasirnya juga berbahaya, sama ada berjalan atau memandu, boleh disedut ke arah tasiknya, banyak kejadian kecederaan kepala dilaporkan setiap tahun. Bukan saja ancaman jerung dan obor-obor katak berbahaya, kawasan daratan turut dihuni anjing liar dingo yang sangat berbahaya kepada manusia.
2- Zipolite Beach

ORANG tempatan memanggil Zipolite Beach di Oaxaca, Mexico sebagai Playa de los Muertos (terjemahan bahasa Latin untuk Pantai Orang Mati). Walaupun begitu, ia menawarkan pemandangan yang sangat cantik.
Ia juga terkenal dengan arus rip maut yang disalurkan oleh arus air yang mengalir dari pantai.
Seiring dengan arus rip, arus yang kuat dan ombak yang menghempas menimbulkan risiko yang sangat tinggi walaupun untuk perenang yang mahir. Sejak 1995, satu pasukan penyelamat telah menawarkan diri untuk membantu mengurangkan bilangan lemas setiap tahun.
3- Chowpatty Beach

PANTAI Chowpatty di Mumbai, India terkenal sebagai salah satu pantai paling toksik di negara itu.
Walaupun pantai ini popular dalam kalangan penduduk tempatan, jangan cuba memasukkannya dalam senarai tempat untuk dilawati.
Pencemaran alam sekitar yang melampau seperti sampah, serpihan dan sisa kumbahan yang tidak dirawat menyebabkan airnya tidak sesuai untuk berenang. Selain itu, arus pasang surut yang kuat menimbulkan risiko lemas yang sangat tinggi.
4- Gansbaai

DIKENALI sebagai ‘Ibu Kota Jerung Putih Besar Dunia’, Gansbaai yang terletak di Western Cape, Afrika Selatan merupakan rumah kepada sejumlah besar jerung putih besar dan sekitar 60,000 ekor anjing laut berbulu yang hidup di saluran air kecil antara Pulau Dyer dan Geyser Rock. Jerung-jerung ini akan menyerang sesiapa sahaja tanpa teragak-agak.
Walaupun digelar ‘Shark Alley’, sesetengah pengunjung memilih untuk dekati makhluk menakutkan ini dengan pergi menyelam secara dalam sangkar dengan syarikat pelancongan.
5- Pantai Reynisfjara
TERKENAL dengan pasir hitam yang indah, formasi lava dan tiang basalt, Pantai Reynisfjara merupakan salah satu tarikan pelancong paling popular di Iceland. Bagaimanapun, pantai ini mempunyai ombak maut yang sering menyebabkan panggilan kecemasan yang serius dengan pelancong kehilangan nyawa dan pegawai kerajaan menyeru penutupan pantai.
Gelombang sneaker adalah fenomena semula jadi yang berlaku apabila beberapa gelombang yang lebih kecil menggabungkan tenaga untuk mencipta satu gelombang lebih besar. Ia berlaku di Reynisfjara kerana tebing bawah tanah di luar pesisir pantai. Ombak itu boleh menyebabkan kematian dengan mudah. Mangsa yang terperangkap dalam ombak itu sukar untuk melarikan diri kembali ke pantai, terutama apabila mengalami hipotermia.














