KUALA LUMPUR – Seorang pendaki lelaki yang mengenakan kostum Spiderman cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Dinding di sini, petang semalam.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5 petang.
Susulan laporan diterima katanya, dua pasukan penyelamat termasuk unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut APM, setibanya di lokasi, pasukan penyelamat terpaksa mendaki sejauh kira-kira satu kilometer mengikut laluan trek sebelum meneruskan pergerakan kira-kira 70 meter di luar laluan menuju ke mangsa.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian 20 meter dengan kecuraman 75 darjah,” katanya.
Ujarnya, mangsa diserahkan kepada pasukan EMS untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














