GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan negeri hujung tahun lalu.
“Pasukan siasatan telah hadir ke beberapa buah pejabat yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan dan kini semuanya dalam kajian.
“Selain itu, SPRM juga telah merakam percakapan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kosmo! difahamkan, sepasukan pegawai SPRM telah hadir ke beberapa buah pejabat termasuk Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang di Bandar Perda, Seberang Perai di sini bagi tujuan siasatan, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kehadiran agensi berkenaan adalah bagi mengambil dokumen yang berkaitan.
Baru-baru ini, MAINPP menerusi kenyataan akhbar melaporkan yang agensi berkenaan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba membuat tohmahan dan menyebarkan fitnah berkaitan isu bantuan khas asnaf serta perolehan tanah seperti yang tular di media sosial.
Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, dakwaan, polemik dan fitnah yang ditularkan terutama mengaitkan Timbalan Ketua Menteri 1 dalam isu berkenaan dilihat berniat jahat untuk menjejaskan imej institusi MAINPP. -KOSMO! ONLINE














