PUTRAJAYA- Sempena sambutan rasmi Hari Wilayah Persekutuan 2026, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) dengan tanda indeks siri ‘FH 1 hingga FH 9999’ menerusi Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Dalam Talian (JPJeBid) bermula Ahad ini.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, proses bidaan awam yang dibuka bermula Ahad akan berakhir pada pukul 10 malam pada Khamis depan.
“Pengenalan nombor pendaftaran ‘FH’ adalah sangat signifikan sebagai salah satu simbolik bagi memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta menghargai peranan dan sumbangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam pembangunan negara,” katanya.
Aedy Fadly berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas melancarkan NPI siri ‘FH’ sempena Hari Wilayah Persekutuan di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tarikh keputusan bagi bidaan awam itu akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas pendaftaran ditutup iaitu pada 6 Februari.
Jelasnya, harga bidaan dalam sistem JPJeBid adalah mengikut harga yang telah ditetapkan iaitu nombor bernilai utama (Golden) pada harga minima RM20,000, diikuti nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor biasa (running) pada harga RM300.
“Kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid.
“Mana-mana nombor pendaftaran yang telah berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














