TELUK INTAN – Sebuah restoran di Teluk Intan dikesan menggunakan ayat al-Quran serta kalimat Allah bagi menarik pelanggan beragama Islam oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan terhadap premis tersebut telah dilaksanakan KPDN Cawangan Teluk Intan pada pukul 1 petang, dengan restoran itu juga didapati menggunakan logo halal tidak sah dalam iklan perniagaannya.
Bahkan, katanya, tindakan pengusaha restoran yang menggunakan kalimat Allah serta ayat-ayat suci al-Quran menunjukkan representasi takrif halal bagi perniagaan penyediaan makanan dan minuman berkenaan.
“Melalui pemeriksaan yang dijalankan, pemilik premis telah gagal mengemukakan suatu dokumen perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
“Premis juga didapati menggunakan sepenuhnya dua orang pekerja bukan beragama islam dalam penyediaaan makanan dan minuman di restoran tersebut, termasuklah tukang masak,” katanya di Teluk Intan hari ini.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, pemilik premis perniagaan dikenakan tindakan dan telah ditahan untuk diambil keterangan.
Beliau berkata, pasukan serbuan telah menyita beberapa barangan terlibat iaitu masing-masing satu set kayu serta plastik kalimat Allah dan Muhammad, satu al-Quran hiasan dinding, satu salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan dan satu salinan Daftar Perniagaan (SSM) dengan nilai sitaan adalah RM500.
“Bagi kesalahan pertama, kes ini akan disiasat di bawah Perenggan 4, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” katanya. – KOSMO! ONLINE














