fbpx
Muhamad Hanif ketika Op Gempur Premis warga asing di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

‘Tidak tahu gula itu barang kawalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Saya tidak tahu gula itu juga barang kawalan,”

Itu alasan seorang pekerja warga asing selepas didapati menjual gula melebihi harga kawalan RM2.85, di sebuah kedai runcit di Taman Sri Muda, hari ini.

Perbuatan itu terbongkar dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang memeriksa 30 premis di kawasan itu bermula pukul 11 pagi.

Tinjauan Kosmo! mendapati pekerja itu mendakwa tidak tahu harga gula RM2.85 ditetapkan kerana majikannya tidak memaklumkan, manakala pelbagai barangan lain dijual tanpa tanda harga jelas.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari yang ditemui semasa mengetuai operasi lebih jam itu memaklumkan pemeriksaan dilaksanakan susulan aduan awam mengenai premis yang dikendalikan warga asing.

“Fokus pemeriksaan ialah pematuhan tanda harga, penggunaan alat timbang atau sukat yang ditentusahkan serta pemilikan permit barangan kawalan seperti minyak masak dan gula.

“Hasil pemeriksaan mendapati lapan kes pelanggaran akta KPDN manakala lima kes ketidakpatuhan mengikut akta SSM. Secara keseluruhan, 13 premis telah dikenakan kompaun berjumlah RM10,000,” katanya.

Tambah Muhamad Hanif, pihaknya memberi amaran kepada semua peniaga supaya mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Selain itu, pematuhan perundangan korporat seperti pendaftaran perniagaan, pemaparan papan tanda sah dan mencetak nombor pendaftaran syarikat pada resit jualan adalah wajib. Kegagalan mematuhinya merupakan satu kesalahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI