fbpx
KONSERT Healing Nite 2026 melakar memori indah apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000 penonton yang pulang dengan wajah puas. – IQBAL ROSLI

Healing Nite 2026 masih ‘relates’, muzik terapi jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DENGAR sahaja perkataan ‘healing’, pasti ramai membayangkan momen ‘reset’ emosi sekali gus melepaskan tekanan selepas melalui rutin harian yang menyesakkan.

Itu antara perkara dijanjikan dalam Konsert Healing Nite 2026 yang berlangsung pada 24 Januari lalu di Stadium Merdeka. Menggabungkan artis tempatan seperti Dayang Nurfaizah, Ella dan Anuar Zain serta penyanyi Indonesia, Lyodra dan Kangen Band, Konsert Healing Nite 2026 menyatukan penggemar muzik merentas sempadan Malaysia dan Indonesia.

Dianjurkan Kembara Nusantara Sdn. Bhd. dengan sokongan Creative Page Sdn. Bhd., manakala Yumeca Sdn. Bhd. mengendalikan strategi, pemasaran, penajaan, acara mega tersebut dihadiri kira-kira 20,000 penonton.

Membuka tirai malam istimewa tersebut, Dayang Nurfaizah yang tampil anggun dalam persalinan rona ungu memanaskan gelanggang ikonik tersebut dengan vokal gemersiknya.

Mempertaruhkan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang dan Lemah, anak jati Sarawak itu sekali lagi membuktikan statusnya sebagai diva vokal apabila lantunan suaranya membuatkan stadium sunyi seketika sebelum bergema dengan sorakan peminat.

Tidak hanya itu, pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty meneruskan persembahan dengan lagu Aku dan karya popularnya, Lelaki Teragung.

DI pentas mana pun, Dayang tidak pernah mengecewakan.

Tidak kekok melayani peminat pada kunjungan keduanya ke ibu kota, Lyodra pula sempat mencuit hati penonton apabila fasih berbahasa Melayu yang didakwa hasil tontonan tegar siri popular Upin & Ipin.

Wanita berusia 23 tahun itu membuai emosi penonton menerusi rangkaian lagu, Malu-Malu Tapi Nyaman, Pesan Terakhir dan menutup persembahan dengan cukup bertenaga menerusi lagu berhantunya, Sang Dewi.

Suasana jadi bernostalgia apabila Kangen Band muncul mempertaruhkan lagu-lagu ‘lejen’ seperti Terbang Bersamaku, Pujaan Hati, Doy, Wanita Cadangan, Kehilanganmu Berat Bagiku dan Yolanda.

Meskipun terdapat sedikit rungutan mengenai teknikaliti suara vokalisnya, Andika Mahesa yang kedengaran agak perlahan, peminat tetap tenggelam dalam memori zaman remaja mereka.

Namun, perhatian malam tersebut dicuri Ratu Rock Negara, Ella yang sememangnya ditunggu-tunggu khalayak. Pada usia 60 tahun, tenaga Ella atau Nor Zila Aminudin itu sangat luar biasa apabila mampu berlari lincah di pentas tanpa menjejaskan kualiti vokal.

Stadium bergema dengan ‘sing-along’ menerusi lagu Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu. Jelas sekali, gelaran Ratu Rock itu masih kekal miliknya!

MALAM ‘healing’ bagai pemanas buat Ella menjelang konsert meganya di Stadium Nasional bulan depan.

Dia juga sempat menyampaikan lagu Retak dan Pedih secara medley khas buat peminat yang memanaskan malam gemilang tersebut.
Sebagai penutup tirai, penyanyi kesayangan ramai, Anuar Zain hadir di tengah gelanggang mega itu dengan aura tersendiri.

Menyampaikan seleksi hit Keabadian Cinta, Kau Bunga Cinta Ku, Sesucinya Cintaku dan Sedetik Lebih, Anuar tidak hanya mempertaruhkan vokal, malah ‘menjual’ adab dan kemesraan.

Momen paling menyentuh hati apabila penyanyi berusia 56 tahun itu sanggup turun dari pentas untuk menyapa seorang peminat tegarnya dikenali sebagai Mak Cik Rokiah.

Meskipun difahamkankan sudah mula menunjukkan tanda awal demensia, ingatan warga emas itu terhadap Anuar yang diminatinya sejak 1980-an tidak pernah pudar.

Selain menghadiahkan patung beruang sebagai tanda penghargaan kepada penonton, tindakan lelaki budiman itu menyantuni peminat menjadi titik noktah paling indah Konsert Healing Nite 2026.

ANUAR Zain bukan sahaja mendamaikan jiwa dengan vokal lunak, malah pembawaan diri yang cukup santun dan berhemah.

Jika dahulu konsert sering dikaitkan dengan jeritan serta tenaga yang meluap-luap, Konsert Healing Nite 2026 mengabsahkan trend terapi muzik.

Pemilihan artis bukan dibuat berdasarkan populariti semata-mata, sebaliknya berasaskan kualiti vokal yang mampu memberikan ketenangan menepati tema konsert.

Pujian juga patut diberikan kepada penganjur apabila mempertaruhkan barisan artis yang membawa lagu-lagu berdurasi penuh dan sarat emosi walaupun di tengah lambakan trend muzik TikTok.

Bahkan kehadiran 20,000 penonton membuktikan masyarakat sememangnya dahagakan muzik ‘healing’ sebagai terapi jiwa. Penyatuan dua negara juga simbolik kedekatan masyarakat sekali gus membuktikan muzik merupakan bahasa perpaduan sejagat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN