KUALA LUMPUR – Kos anggaran pembinaan sebuah bilik darjah bertambah sekali ganda berbanding lima tahun sebelum iaitu antara RM280,000 hingga RM520,000 bagi tempoh 2021 hingga 2026.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi tempoh 2016 hingga 2020, kos pembangunan tersebut dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000 sahaja.
“Peningkatan itu berdasarkan analisis dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tempoh 10 tahun lalu. Anggaran itu hanya meliputi kos blok bangunan iaitu bilik darjah, tangga, koridor dan tandas.
“Ini belum mengambil kira kos keseluruhan komponen pembinaan sekolah baharu yang merangkumi kerja-kerja awalan, kerja tanah, pembangunan infrastruktur lengkap, pembayaran fi profesional dan caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Rafizi Ramli (PH-Pandan) berhubung metrik kos sebuah bilik darjah mengikut komponen kos, jenis sekolah, bandar atau luar bandar serta negeri.
Fadhlina berkata, kos lain seperti pembinaan blok pentadbiran, blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik-bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan dan perkakasan juga perlu diambil kira.
Jelas beliau, peningkatan kos berikutan faktor logistik, keadaan kerja tanah, pembangunan infrastruktur luar, urusan utiliti, bayaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perolehan perabot serta kelengkapan.
Kata beliau, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan mengalami peningkatan kos berpandukan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan oleh JKR.
Menurut beliau, bagi fasa pembinaan pula, tempoh siap projek tertakluk kepada Piagam Pelanggan JKR yang dikemas kini pada Januari 2025.
Kata beliau, sebagai contoh untuk kos projek yang melebihi RM25 juta, tempoh pembinaan projek yang ditetapkan adalah 36 bulan.
“Tempoh ini bagaimanapun adalah bersifat dinamik iaitu tempoh ini boleh berubah berdasarkan kekangan sedia ada di tapak bina,” katanya. – KOSMO! ONLINE














