KOTA BHARU – Terlupa dan mempunyain masalah kewangan untuk memperbaharui cukai jalan merupakan antara alasan yang sering diberikan oleh pemandu kereta mewah semasa ditahan menerusi Ops Luxury sejak Julai tahun lalu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya tidak boleh menerima alasan tersebut kerana kereta dipandu individu yang ditahan itu kadangkala mencecah jutaan ringgit.
Menurutnya, kebanyakan kereta mewah yang disita itu terdiri daripada kenderaan yang mempunyai cukai jalan bermula RM20,000 hingga RM50,000 setahun dengan jumlah insurans yang boleh mencecah RM100,000.
“Sejak Ops Luxury dijalankan, terlupa dan masalah kewangan menjadi alasan yang paling banyak diberikan. Kereta harga RM2 juta hingga RM5 juta mampu beli, tetapi cukai jalan culas nak bayar.
“Pada Ahad lalu, JPJ menahan sebuah kereta jenis Subaru yang dinaiki lelaki warga Itali bersama teman wanitanya sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk bercuti di Cherating, Pahang. Dia menyewa kereta itu daripada warga tempatan, tetapi rupa-rupanya cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh dua minggu lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Khas Tunggak Kenderaan Thailand di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.
Muhammad Kifli memberitahu, JPJ mengambil tindakan drastik dengan menyita sebanyak 1,050 kereta mewah sejak Julai lalu menerusi Ops Luxury dan ia hanya akan dilepaskan jika pemilik memperbaharui cukai jalan.
Menurutnya, setakat ini, 90 peratus pemilik kereta mewah memperbaharui cukai jalan selepas kereta mereka disita.
“Ada sebuah kereta jenis Lamborghini masih ada dalam sitaan JPJ sejak tiga bulan lalu kerana pemiliknya masih gagal memperbaharui cukai jalan.
“Setakat ini, kereta mewah paling banyak disita di Kuala Lumpur diikuti Pulau Pinang dan Selangor. Kita bukan mahu cari salah, tetapi JPJ sentiasa memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














