fbpx
Pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Serdang tertarik melihat pameran yang diadakan sempena Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.

Ujian darjah 4 kesan kelemahan awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Prof. Dr. Mohd. Abdullah Jusoh

Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat kepada anjakan dalam sejarah pembangunan pendidikan negara.

Ekosistem pendidikan yang dinamik pada hari ini menuntut tindakan segera untuk memastikan sistem pendidikan bergerak seimbang dengan perubahan.

Ucapan Perdana Menteri me­rangkumkan satu pendekatan yang menyeluruh, menggabungkan dimensi kemanusiaan, kebudayaan dan daya saing global dalam satu kerangka strategik jangka panjang.

Mesaj yang disampaikan perlu dihayati dan difahami supaya semua pihak berupaya memainkan peranan masing-masing bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini.

Berbeza dengan banyak pelan pendidikan yang cenderung me­numpukan aspek kebolehpasaran tenaga kerja, RPN 2026-2035 meletakkan konsep pembangunan karekter dan nilai untuk melonjakkan pembentukan peribadi dan sikap tanpa meminggirkan keperluan kemahiran teknologi semasa.

Perdana Menteri menegaskan bahawa subjek sebenar pendidikan ialah manusia – bukan mesin ekonomi atau statistik prestasi. Pendidikan, menurut pendekatan ini, harus membina individu yang memiliki nilai, akhlak, ke­sedaran sosial dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Dalam wacana pendidikan moden yang sering terjerumus ke dalam pengukuran kuantitatif dan indikator prestasi, penekanan ini memberi dimensi normatif yang sangat penting.

Lahir insan berintegriti

Ini bukan suatu roman­tisme moral, tetapi suatu keperluan strategik. Negara yang gagal membina asas etika dan nilai akan melahirkan golongan profesional yang cekap tetapi tidak berintegriti, elit yang berpendidikan tinggi tetapi terpisah daripada kepentingan awam.

Dalam konteks Malaysia yang masih berhadapan dengan isu rasuah, ketirisan dan polarisasi sosial, pendidikan berasaskan nilai menjadi instrumen pembaikan jangka panjang yang paling berkesan.
RPN ini juga bersifat sangat realistik tentang cabaran masa hadapan. Perdana Menteri secara jelas menegaskan keperluan rakyat negara ini untuk menguasai teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, peralihan tenaga, STEM dan TVET.

Dalam ekonomi global yang semakin didorong oleh inovasi dan automasi, keupayaan negara untuk bersaing tidak lagi bergantung kepada kos buruh rendah atau sumber asli, tetapi kepada kualiti modal insan. Ekosistem pendidikan seharusnya memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan yang berupaya untuk menyokong agenda pembangunan negara yang seimbang pada masa hadapan.

Pendekatan dua paksi – nilai kemanusiaan dan penguasaan teknologi – meletakkan RPN ini dalam tradisi pembangunan yang seimbang. Negara tidak boleh maju dengan mengorbankan jiwanya, dan juga tidak boleh mempertahankan jiwanya dengan mengabaikan kemajuan. Dalam kerangka ini, pendidikan berfungsi sebagai mekanisme integrasi antara warisan budaya dan tuntutan masa depan.

Isu bahasa, yang sering menjadi polemik dalam sejarah pendi­dikan Malaysia, ditangani secara lebih sistematik dan strategik. Penegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dikekalkan, malah diperkukuh melalui kewajipan di semua aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan aliran UEC.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri secara terbuka mengakui bahawa penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan dengan lebih serius.

Ini mencerminkan satu pendekatan yang matang terhadap realiti sosiolinguistik dan ekonomi global. Bahasa Melayu berfungsi sebagai perekat identiti, kewarganegaraan dan penyatuan kaum, manakala Bahasa Inggeris berfungsi sebagai alat mobiliti global dan penguasaan ilmu.

Sistem pendidikan yang berjaya ialah sistem yang mampu melahirkan generasi dwibahasa yang berakar di tanah air tetapi mampu berfungsi di pentas dunia

Dalam aspek struktur sistem, RPN memperkenalkan beberapa reformasi penting di peringkat sekolah rendah dan menengah, termasuk pengenalan semula Sistem Matriks Pembelajaran Malaysia dan ujian Darjah 4. Secara teorinya, ini bertujuan untuk kesan kelemahan asas lebih awal dan memberi ruang intervensi sebelum jurang pembelajaran menjadi kronik.

Dalam konteks kajian pendidikan antarabangsa, pendekatan ini sejajar dengan prinsip early diagnostic assessment yang digunakan secara meluas di negara berprestasi tinggi.

Namun kejayaan pendekatan ini sangat bergantung kepada kualiti guru, sokongan pedagogi dan kapasiti sekolah. Perhatian juga sewajarnya diberikan kepada mewujudkan saiz kelas mengikut standard antarabangsa, kecukupan guru berdasarkan opsyen dan latihan kepada guru untuk meningkatkan kompetensi.

Struktur semula ekosistem

Penilaian awal hanya bermakna jika ia disusuli dengan program pemulihan, latihan guru dan sumber tambahan kepada sekolah. Jika tidak, ia berisiko menjadi satu lagi mekanisme pelabelan yang menambah tekanan tanpa menambah kualiti. Jadi perlaksanaannya perlu dibuat secara berhati-hati supaya berupaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Di peringkat pendidikan tinggi, RPN menampilkan satu usaha menyeluruh untuk menstruktur semula ekosistem. Pengambilalihan pra-universiti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, peluasan tempat kursus kritikal, dan tumpuan kepada bidang strategik seperti AI, sains data, kewangan dan komunikasi menunjukkan keinginan untuk menyelaraskan penawaran pendidikan dengan keperluan ekonomi dan sosial negara.

Langkah memperkenalkan semula mata pelajaran umum berkaitan Perlembagaan dan Sejarah Malaysia di universiti juga signifikan. Ia mencerminkan kebimbangan bahawa sebahagian generasi muda semakin terpisah daripada asas kenegaraan.

Melihat kepada dimensi keadilan sosial, RPN memperluas konsep pendidikan percuma dan akses saksama. Pendidikan percuma untuk pelajar miskin tegar dan OKU, serta penambahan tempat pengajian tinggi, mencerminkan usaha untuk memutuskan kitaran kemiskinan melalui mobiliti pendidikan. Ini selari dengan bukti empirikal bahawa pendidikan tinggi merupakan antara instrumen paling berkesan untuk mengurangkan ketidaksamaan jangka panjang.

Namun, seperti yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri, cabaran terbesar bukan pada reka bentuk pelan, tetapi pada pelaksanaannya. Keperluan laporan bulanan, pemantauan berterusan dan akauntabiliti langsung kepada kepimpinan tertinggi menunjukkan bahawa kerajaan menyedari kelemahan tradisional birokrasi dalam melaksanakan reformasi berskala besar.

RPN 2026-2035, dengan segala kelebihan dan risikonya, adalah satu percubaan serius untuk merombak masa depan Malaysia melalui pendidikan. Ia menggabungkan falsafah, teknologi, keadilan sosial dan identiti kebangsaan dalam satu kerangka strategik. Jika dilaksanakan dengan disiplin, integriti dan kesungguhan politik, ia berpotensi menjadi asas kepada kebangkitan baharu negara.

Akhirnya, sejarah tidak akan menghakimi RPN berdasarkan keindahan dokumennya, tetapi berdasarkan nasib sebenar anak-anak di bilik darjah, di universiti dan di pasaran kerja satu dekad dari sekarang. Di situlah ukuran sebenar kejayaannya.

Prof. Dr. Mohd. Abdullah Jusoh ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Lojistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN