PETALING JAYA – Seorang pemandu teksi wanita di Singapura berdepan pengalaman seram apabila dikatakan pernah membawa penumpang disangka manusia ke sebuah tempat persemadian bukan Islam, dalam kejadian pukul 2 pagi.
Menerusi hantaran TikTok Nikki Caprina, wanita itu memaklumkan kejadian itu berlaku sekitar tahun 2015 dan dia membawa seorang penumpang lelaki yang mahu ke Mount Vernon Columbarium, Singapura untuk bertemu bapanya.
Wanita itu mendakwa, dia tidak mengesyaki penumpang tersebut biarpun perlu menghantarnya ke kawasan itu, memandangkan lelaki berkenaan turut berbual dengannya sepanjang perjalanan.
“Seorang lelaki muda Cina, dia nak naik teksi, melambai-lambai macam ni (tunjuk gaya melambai), masuk dalam teksi tercungap-cungap. Dia kata, ‘saya nampak teksi awak, saya cepat-cepat, terima kasih auntie, saya nak pergi dekat sahaja, Mount Vernon Columbarium’,” katanya.
Nikki Caprina berkata, penumpang itu memberitahu bapanya sedang menunggu di tempat itu dan dia tidak dapat pergi ke sana pada waktu siang memandangkan terlalu sibuk bekerja dan pulang pada lewat malam.
“Tempat itu adalah tempat orang yang dah mati. Simpan abu mayat kat sana, mami fikir kenapa pukul 2 pagi ke sana dan sebab itu mami teruskan berbual. Dia pakai seluar hitam dan baju hitam.
“Bila dah sampai pintu masuk, tak ada satu kereta di situ. Parking besar, tapi tak ada kereta. Di sana ada blok-blok dan budak ni cakap, dia tak tahu ayah dia tunggu di mana. Dia kata boleh tak pergi setiap blok.
“Mami ikut cakap dia dari satu blok ke satu blok, memang tak ada apa dan mami balik tempat masuk tadi. Dia kata mintak pusing sekali lagi mungkin terlepas pandang. Masuk pusingan ketiga dia kata, nampak ayah. Dia minta tunggu dan dia bagi duit lebih dolar Singapura 100. Mami tunggu, fikir tak apa lah lima minit sahaja dan dia bagi duit lebih,” katanya.
Bagi mendapatkan kepastian, Nikki Caprina bertanya sekali lagi kepada penumpang lelaki tersebut mengenai keberadaan bapanya.
“Dia kata, ‘Ayah saya dah meninggal bertahun lama. Dalam bilik itu ada abu mayat, saya nak jumpa dia’. Kenapa dari tadi dia tak kata, bapa dia dah mati. Selepas tunggu di situ, nampak dia keluar dan mami lambai dia. Tapi dia, tak lambai balik, dia jalan ke depan sikit, berhenti betul-betul di tangga. Mami nampak dia, hitam tapi kenapa dia makin tinggi, makin tinggi.
“Mami cakap, ‘ni bukan manusia’. Mami pun tutup pintu, hidupkan enjin. Mami tengok lagi, dia lambai-lambai, mami keluar terus ke jalan utama berhenti di tempat teksi.
“Dalam keadaan termengah-mengah, baru teringat nak tengok duit. Tak ada duit itu dan dalam perjalanan balik, teksi mami ada bau seperti bakar-bakar. Mami takkan pergi tempat itu lagi dah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@nikki.caprina Mount Vernon Columbarium was a columbarium complex on Mount Vernon, Singapore. Built in 1962 as a crematorium, the columbarium closed in 2018 to make way for future redevelopments in the upcoming Bidadari housing estate, with plans for a new funeral parlour complex to be completed by 2025.#whothatboy#mountvenoncolumbrian #lastcustomer ♬ original sound – Nikki Caprina














