fbpx
Gambar hiasan

Johor Port kendali 1,800 pergerakan lori sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC mengendalikan sehingga 1,800 pergerakan lori sehari sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatatkan tahap trafik darat tertinggi dalam sejarah syarikat itu.

Johor Port dalam kenyataannya berkata, jumlah keseluruhan pergerakan pengangkut mencecah 639,011 pada tahun tersebut, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding 2024.

“Ini sejajar dengan peningkatan jumlah pengendalian kontena 1.08 juta Unit Setara Dua Puluh Kaki (TEU) yang merupakan pencapaian tertinggi pernah dicatatkan Johor Port.

“Aliran trafik berterusan dengan purata 1,750 lori sehari, diurus tanpa gangguan besar, mencerminkan penambahbaikan dalam operasi pintu masuk, penyelarasan bersama pengendali pengangkutan dan kecekapan keseluruhan terminal,” katanya.

Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh memberitahu, keupayaan mengurus jumlah pergerakan lori harian yang tinggi tanpa kesesakan ketara merupakan pemangkin utama pertumbuhan Johor Port serta rekod prestasi pelabuhan ini pada 2025.

“Ia membolehkan kami menyokong peningkatan panggilan kapal, memastikan pelepasan kargo yang lebih pantas seterusnya mengukuhkan peranan Johor Port sebagai pintu masuk perdagangan serantau yang boleh dipercayai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir berkata, jumlah pergerakan lori harian yang tinggi secara berterusan mencerminkan keyakinan terhadap operasi Johor Port.

“Mengendalikan hampir 1,800 lori sehari merupakan petunjuk kukuh tahap kepercayaan komuniti logistik terhadap Johor Port. Yang penting adalah pergerakan ini berjaya diurus dengan lancar kesesakan yang minimum, walaupun pada waktu puncak.

“Ini mencerminkan usaha kolektif pasukan kami dan kerjasama erat dengan pengendali pengangkutan,” katanya.

Johor Port bersiap sedia untuk melaksanakan sistem pintu masuk dan jambatan timbang automatik menjelang akhir 2026, dengan matlamat mengurangkan masa pemprosesan lori dan memperbaiki aliran trafik selaras dengan peningkatan jumlah pergerakan.

Johor Port menjangkakan kecekapan kawasan darat akan terus menjadi fokus utama selaras dengan peranan pelabuhan dalam menyokong aktiviti perdagangan yang meningkat, terutama susulan pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN