KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar terhadap blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam prosiding pengurusan kes hari ini, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd. Na’im berkata, kes itu akan dibicarakan berikutan kedua-dua pihak tidak sepakat menyelesaikan kes saman menerusi mediasi di hadapan Hakim Datuk Kenneth Yoong Ken Chinson St. James yang bertindak sebagai perantara.
“Sehubungan itu, perbicaraan yang ditetapkan pada 21 dan 24 September ini diteruskan. Bagaimanapun mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 6 Mac untuk kedua-dua pihak memaklumkan sekiranya terdapat penyelesaian,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes dalam kamar selama satu jam.
Semasa prosiding, Wan Muhammad Azri diwakili peguam Logen Eskandar Abdullah.
Mohd. Na’im memfailkan saman pada 19 Oktober 2023 mendakwa Wan Muhammad Azri menerbitkan satu hantaran terhadapnya di Facebook milik defendan ‘Sir Azri’ bertarikh 18 September 2023.
Dalam hantaran itu, defendan memuat naik klip video berdurasi enam minit 41 saat yang merupakan klip video diambil daripada akaun TikTok ‘@nurhafizulbadrulhisham’.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak membuat atau melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam memandangkan plaintif kononnya mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual atau lucah, maka plaintif seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah tersebut menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan status plaintif di mata masyarakat umum. – KOSMO! ONLINE














