KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaksanakan analisis kos faedah (CBA) bagi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, analisis itu dilakukan bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MIDF Research.
“Lazimnya, analisis CBA yang komprehensif mengambil masa antara enam hingga 12 bulan. Tumpuan khusus diberi kepada kesan eksport negara kepada AS yang bernilai RM233.1 bilion dan lebihan dagangan bernilai RM98.7 bilion,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berhubung analisis kos faedah secara terperinci sebelum menandatangani ART dengan AS dan agensi yang terlibat melaksanakan analisis tersebut.
Johari menjelaskan, ART bukan perjanjian biasa, tetapi bersifat unilateral, maka sebaik sahaja AS mengenakan tarif pada kadar tinggi iaitu 24 peratus pada 2 April 2025, Malaysia telah memulakan rundingan dengan negara itu.
Kata beliau, pada 1 Ogos 2025, kadar tarif itu telah dikurangkan kepada 19 peratus pada 1 Ogos 2025 hasil rundingan MITI dengan AS.
Dalam pada itu, Johari menerangkan, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan meneliti semula intipati ART bagi memastikan kepentingan ekonomi negara terpelihara dan mengurangkan risiko kepada perdagangan negara. – KOSMO! ONLINE














