fbpx
KANAK-KANAK Orang Asli Suku Jakun yang menghuni sekitar Tasik Chini menaiki bot setiap pagi untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini di Kampung Gumum, Pekan, Pahang. - GAMBAR FAIL

Jangan pernah lupakan anak-anak pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap kali kita bercakap tentang kecemerlangan pendidikan, fokusnya selalu tertumpu kepada aspek peperiksaan, teknologi terkini dan kemudahan serta perihal sekolah-sekolah prestasi tinggi.

Namun, dalam keterujaan kita mengejar sasaran dan angka, ada satu kelompok yang sering terpinggir daripada radar perhatian kita – anak-anak pedalaman.

Di kawasan pedalaman, pendidikan masih berdepan cabaran asas yang tidak pernah selesai. Ada murid yang perlu berjalan berjam-jam atau meredah sungai untuk ke sekolah.

Ada yang belajar dalam bangunan uzur, berkongsi buku teks, malah ada yang terpaksa berhenti sekolah kerana faktor kemiskinan keluarga.

Ini realiti yang masih berlaku dan bukannya cerita lama untuk menimbulkan simpati.

Lebih menyedihkan, jurang pendidikan antara bandar dan pedalaman semakin melebar dalam era digital.

Ketika murid di bandar berbincang tentang kecerdasan buatan dan pembelajaran dalam talian, anak-anak pedalaman masih bergelut mendapatkan capaian internet yang stabil, komputer riba yang berfungsi atau guru yang mencukupi.

Mereka tidak bising. Mereka tidak menuntut. Mereka menerima seadanya, walaupun impian itu setinggi langit.

Mereka juga bukanlah murid yang lemah, tetapi, mereka sebenarnya kurang mendapat peluang.

Bagaimanapun, ramai percaya dan yakin bahawa kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak khususnya di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Kerajaan membina sekolah, menambah baik infrastruktur dan menyediakan bantuan yang sepatutnya. Semua tindakan itu wajar dipuji.

Isu yang timbul apabila pendidikan pedalaman sangat kompleks yang memerlukan lebih banyak usaha.

Ia menuntut komitmen jangka panjang meliputi kesungguhan guru untuk berkhidmat, dasar yang memahami konteks setempat, serta sokongan komuniti yang berterusan.

Kita juga harus berhenti menilai kejayaan pendidikan semata-mata melalui peperiksaan.

Sebaliknya, anak pedalaman perlu didedahkan kepada potensi lain seperti kemahiran hidup, bakat teknikal, keusahawanan dan jati diri.

Sebagai masyarakat, tanggungjawab ini bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata. Sektor swasta, badan bukan kerajaan, golongan profesional dan individu berkemampuan juga perlu mainkan peranan.

Kita perlu sedar bahawa anak-anak pedalaman bukan beban, mereka adalah aset negara yang belum digilap.

Pada akhirnya, kita juga perlu percaya bahawa kehidupan seseorang itu boleh berubah melalui pendidikan yang lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN