KOTA TINGGI – Kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai di sini semakin memburuk apabila keluasan kebakaran merebak dari 5 hektar kepada 12 hektar.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I Muhamad Sabri Ramli berkata, keadaan itu disebabkan cuaca kering dan berangin menyebabkan angin telah membawa asap tebal ke kawasan perumahan penduduk di Taman Bayu Damai.
“Sehingga kini keluasan yang berjaya dipadamkan melibatkan dua hektar tanah iaitu 20 peratus daripada kawasan terlibat. Unit dron dari Zon 2 juga telah membuat penilaian tahap kemerebakan dan sumber air serta laluan masuk untuk pemadaman.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) telah bertindak membuat pemadaman di sektor B menggunakan 1 aliran hose 500 kaki ,1 breaching 2 pancutan Nozzel Pam jentera dan sumber air dari pili bomba. Namun tiupan angin dari arah utara kekal dan menyebabkan ada nyalaan baru di beberapa kawasan dan angin kuat yang menyebabkan asap berada di kawasan perumahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Sabri berkata, bagi tindakan di sektor A pula, pemadaman tidak dapat dijalankan disebabkan punca air jauh dimana sumber air terbuka parit cetek, kesemua anggota tertumpu pada sektor B berikutan angin yang agak kuat serta kemerebakan ke sektor B .
Terdahulu, seramai 52 mangsa dari 17 buah keluarga dipindahkan ke pusat transit sementara di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai hari ini susulan kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai sejak Jumaat lalu itu.-KOSMO! ONLINE














