JAKARTA – Mahkamah Agama (PA) Surabaya merekodkan sebanyak 10 permohonan kebenaran berpoligami yang dikemukakan sepanjang tahun lalu, lapor portal berita Infopol.news kelmarin.
Pegawai Perhubungan Awam PA Surabaya, Akramuddin menjelaskan bahawa amalan poligami di Indonesia telah diatur dengan jelas dalam Undang-Undang Nombor 16 Tahun 2019 mengenai Pindaan terhadap Undang-Undang Nombor 1 Tahun 1974.
Merujuk kepada Perkara 4 ayat (2) undang-undang tersebut, mahkamah hanya boleh memberikan kebenaran poligami jika terdapat alasan tertentu antaranya isteri tidak dapat melaksanakan kewajibannya.
Undang-undang itu membenarkan poligami jika steri mengalami kecacatan fizikal atau penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan tidak dapat melahirkan zuriat.
“Semua alasan ini akan diuji dalam perbicaraan. Terdapat juga kes di mana isteri menyatakan masih mampu menjalankan kewajibannya dan perkara itu menjadi bahan pertimbangan hakim. Siasatan dibuat dengan sangat terperinci,” katanya.
Beliau menambah, persetujuan isteri pertama merupakan salah satu faktor penting dalam permohonan kebenaran poligami.
“Bukti pendapatan boleh berupa slip gaji atau surat pengesahan daripada pihak pejabat komuniti setempat. Semua dokumen akan disahkan,” jelasnya.
Menurut Akramuddin, terdapat pelbagai reaksi daripada isteri pertama dalam kes poligami.
Sebahagian menolak, namun ada juga yang memberikan persetujuan, malah membantu mencarikan bakal isteri kedua untuk suami mereka atas alasan pegangan atau kepercayaan peribadi, katanya. – AGENSI













