KOTA TINGGI – Isu pencemaran Sungai Johor kembali menghantui penduduk apabila kejadian sama berlaku hari ini kira-kira tiga bulan selepas kejadian sama berlaku sebelum ini.
Kejadian terbaharu itu didakwa berlaku tengah hari tadi apabila air sungai di kawasan jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang didapati bertukar warna hitam.
Ketua Jaringan Perikanan Nelayan Darat Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Azman Inam berkata, keadaan itu sekali gus menimbulkan keresahan penduduk dan nelayan darat di kawasan terlibat.
“Perubahan warna air sungai itu disedari secara tiba-tiba dan dipercayai berpunca daripada aktiviti kilang. Sampai bila perkara ini nak berlarutan? Sungai Johor sangat penting untuk rakyat Johor, bukan sahaja sebagai sumber air mentah, tetapi untuk kelangsungan hidup nelayan dan komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Oktober lalu, media melaporkan air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar putih seakan susu dipercayai kerana tercemar. Pencemaran berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berdekatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.- KOSMO! ONLINE














