KUALA LUMPUR – “Memang gambar yang diambil cantik, tetapi bayaran dikenakan agak mahal.”
Itulah reaksi rata-rata pengunjung sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) mengenai jurugambar tidak berlesen di sekitar itu yang didakwa mengganggu pelancong di situ.
Selain gambar yang diambil didakwa mahal sekitar RM10 sekeping, mereka juga dikatakan mengganggu orang ramai yang melintas dengan mempromosikan pakej ambil gambar yang ditawarkan.
Kata seorang pengunjung, Mohd. Nazrin Abd Rahman, 37, dia diganggu dan dipujuk berulang kali oleh jurugambar di situ, namun dia tidak menghiraukannya.
“Mereka agak kasar ketika memujuk pengunjung termasuk dalam kalangan pelancong asing khususnya di laluan pejalan kaki, kawasan lintasan zebra dan ruang awam yang sesak dengan orang ramai.”
“Setiap kali hendak mengambil gambar menggunakan kamera sendiri, jurugambar jalanan itu akan mengacau dengan membuat photobomb di belakang kita,” katanya.
Seorang lagi pengunjung Saleha Baharuddin, 34, mendakwa pernah ditawarkan perkhidmatan mengambil gambar secara percuma pada mulanya sebelum dikenakan bayaran baru-baru ini.
“Saya bawa pasangan warga asing berjalan di KLCC. Pada awalnya jurugambar cakap perkhidmatan percuma. Lepas ambil gambar, dia kata caj RM10 sekeping.
“Hari lain saya datang seorang diri, jurugambar lain pula cakap RM5 untuk beberapa gambar.
“Sebab itu saya tidak layan apabila mereka menghampiri pada hari ini,” katanya.
Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ada mengenakan kompaun kepada jurugambar jalanan yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen di kawasan tumpuan ramai di sekitar KLCC.
Pada 28 Julai tahun lalu, sebanyak 41 notis kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen menerusi Operasi Penguatkuasaan Ops Lens di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC
Dalam pada itu, seorang jurutera, Mohamad Imran, 29, mendakwa, dia hampir bergaduh dengan jurugambar jalanan itu apabila dia dan keluarganya ditegur secara kasar oleh seorang jurugambar ketika melintas di kawasan sesak berhampiran lampu isyarat.
“Saya berjalan dengan isteri dan adik-beradik isteri yang semuanya perempuan. Kawasan itu memang penuh, kami terpaksa berjalan perlahan dan stroller (kereta sorong bayi) anak asyik tersangkut.
“Tiba-tiba stroller tersangkut betul-betul di tempat mereka bergambar. Dia panggil kami dengan bahasa kasar. Saya terus kejar dia,” katanya.
Kata Imran, jurugambar marah kerana dia termasuk dalam gambar pelanggannya dan perkara itu bukan dalam kawalannya disebabkan itu kawasan awam.














