PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset bernilai RM9.7 juta milik tokoh kewangan bergelar Tan Sri bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana pelaburan berjumlah RM300 juta.
Sumber berkata, sitaan terbaharu itu melibatkan enam buah rumah berharga RM6.54 juta, satu lot tanah bernilai RM1.8 juta dan dua kenderaan mewah bernilai RM1.35 juta.
“(Selain itu), sebanyak 14 akaun bank disita, namun jumlahnya masih dalam proses pengesahan pihak bank,” katanya hari ini.
Menurut sumber, seorang wanita bergelar Datuk yang sebelum ini direman lima hari dibebaskan dengan jaminan kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Individu bergelar Tan Sri yang direman sejak Khamis lalu turut dibebaskan pada pukul 12 tengah hari, hari ini,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memberitahu sehingga kini, seramai 10 saksi dipanggil untuk memberi percakapan dan giat mengesan saksi-saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan.
Azam berkata, SPRM komited untuk melengkapkan siasatan yang melibatkan kes kepentingan awam ini dengan segera.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu lalu. Tokoh kewangan itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Susulan itu, SPRM membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan menyeleweng dana pelaburan berjumlah hampir RM300 juta. SPRM turut menggeledah lima premis di sekitar Lembah Klang pada Rabu dan Khamis lalu.
Siasatan awal mendapati sejumlah hampir RM300 juta dikutip daripada 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan ke atas dua buah syarikat sejak 2021 hingga 2024. – KOSMO! ONLINE














