ISKANDAR PUTERI – Polis menyelamatkan seorang lelaki daripada menjadi mangsa pemerasan setelah berjaya membawanya keluar dari sebuah hotel di Gelang Patah, dalam kejadian pada 19 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pada mulanya polis menerima laporan daripada rakan mangsa dan dia memaklumkan telah dihubungi suspek yang meminta bayaran RM5,000 bagi melepaskan rakannya.
“Susulan laporan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri berjaya mengesan kedudukan mangsa pada pukul 12.15 pagi dan berjaya menyelamatkannya di kawasan Gelang Patah.
“Pasukan polis kemudian menahan suspek lelaki dan wanita tempatan di kawasan Permas Jaya, Johor Bahru antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah, manakala saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis syabu.
Kumarasan berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa diperas ugut sebanyak RM5,000 oleh tiga suspek, selain dipercayai menjalin hubungan sulit dengan suspek wanita tersebut.
“Suspek wanita merupakan teman wanita kepada seorang lagi suspek lelaki tempatan yang masih bebas. Polis sedang mengesan individu itu dikenali sebagai Sathewaran A/L Jaintheran berusia 30 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat individu berkenaan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Mohd. Ezwady Mat Lajis (016-6833692/07-5113622 @ Hotline 07-5114486) – KOSMO! ONLINE














