SEBERANG PERAI – Malaysia perlu menetapkan hala tuju ekonomi yang jelas dan mampan bagi memastikan negara tidak terus terperangkap dalam kategori negara berpendapatan pertengahan atau middle income trap.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan menerusi transformasi ekonomi dan digital yang konsisten, serta disokong pembangunan modal insan secara berterusan.
“Apabila negara ini sudah meletakkan asas ekonomi yang lebih meyakinkan, ia mesti disusuli dengan hala tuju yang jelas supaya Malaysia tidak lagi terperangkap sebagai negara berpendapatan pertengahan yang disebut middle income trap.
“Kita lihat banyak negara maju seketika, kemudian tersangkut di satu peringkat. Sebab itu, kita merangka beberapa dasar dalam pelan perindustrian dan pelan transformasi digital negara,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Seberang Perai Aspire Centre (SPACE) dan Program Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Santuni Komuniti di Bangunan MBSP, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata antara usaha utama menerusi pelan berkenaan adalah menterjemahkan dasar kepada pembangunan pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan industri semikonduktor.
“Bagi industri semikonduktor, Malaysia kini menjadi hab utama. Infineon misalnya, selain di Jerman, pelaburan terbesar mereka adalah di Malaysia. Nvidia dan Google juga telah menjadikan Malaysia termasuk Johor sebagai pusat bagi rantau ini, manakala syarikat-syarikat besar dalam bidang AI telah mula beroperasi.
“Namun, sekiranya kita mempunyai jentera dan keupayaan ini, tetapi gagal menterjemahkannya di peringkat akar umbi, maka manfaat sebenar tidak akan dapat dirasai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














