PETALING JAYA – Fenomena working poor dalam kalangan pekerja gig sudah mula kelihatan dan berpotensi menjadi lebih serius pada masa hadapan.
Fenomena itu merujuk kepada golongan individu yang bekerja, tetapi masih hidup dalam kemiskinan atau kesempitan kewangan.
Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia berlaku terutamanya apabila penyedia platform gig tidak lagi menawarkan pulangan pendapatan yang tinggi.
“Pihak terlibat juga mengurangkan kadar bayaran atau komisen kepada pekerja,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, sektor ekonomi gig di Malaysia yang sebelum ini dianggap sebagai penyelamat ekonomi rakyat, kini mula menunjukkan tanda-tanda ketidakseimbangan struktur yang membimbangkan.
Katanya, meskipun sektor itu masih menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk mencari rezeki, trend semasa memperlihatkan peralihan secara beransur-ansur dalam jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
“Jika sebelum ini industri penghantaran makanan menjadi tumpuan utama, kini terdapat peningkatan dalam penyediaan perkhidmatan profesional secara dalam talian, manakala sektor penghantaran fizikal mula mencatatkan penurunan,” ujarnya.
Menurutnya, tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan beberapa industri dalam sektor itu mula menunjukkan ketidakseimbangan struktur.
Katanya, antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan sektor tersebut ialah ekonomi makro, khususnya peningkatan kos barangan dan perkhidmatan.
“Peningkatan kos barangan dan perkhidmatan menghakis lebihan pendapatan yang diperoleh melalui pekerjaan gig, sekali gus menjejaskan daya tahan kewangan pekerja,” katanya.














