KLANG – Penyeludupan daging babi dikatakan semakin meriah menjelang perayaan Tahun Baharu Cina apabila sejumlah hampir 50 tan daging babi sejuk beku dirampas di Pelabuhan Barat, di sini kelmarin.
Rampasan bernilai RM660,137.85 itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi hasil pemeriksaan terhadap dua buah kontena daripada Sepanyol.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) , Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil pemeriksaan mendapati kontena itu berasal dari Sepanyol yang merupakan antara 14 buah negara yang dilarang pengimportannya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati permit import syarikat tempatan yang mengimportnya telah tamat.
“Kita mengesannya melalui dokumentasi apabila kesemua produk seberat 49,972.74 kilogram itu diisytiharkan sebagai produk sejuk beku namun permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis).
“Kemungkinan pengimportan itu bagi memenuhi pasaran tempatan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. Kita akan mengambil tindakan juga terhadap syarikat pengimport itu,” katanya pada sidang akhbar di Pelabuhan Barat di sini hari ini.
Menurut beliau, pengimportan daripada senarai 14 buah negara dilarang adalah amat berbahaya terutama kepada aspek keselamatan terutama melibatkan Demam Babi Afrika (ASF).
“Ya, ia tidak boleh tersebar kepada manusia namun sekiranya tidak dikawal dari sudut kebersihan dan sebagainya boleh berjangkit kepada haiwan ternakan lain seperti lembu, kambing dan ayam.
“Keutamaan ini bukan dari sudut pelanggaran undang-undang sahaja tetapi kesihatan awam yang harus kita pastikan berada dalam tahap terjamin,” katanya.
Jelas beliau, kejayaan ini merupakan kedua selepas rampasan 2,000 kilogram (kg) karkas babi menggunakan sebuah pikap menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 14 Januari lalu.
“Jadi, kita dapat melihat usaha membawa masuk daging babi ke negara kita agak meriah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














