fbpx
Azam (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim, Yatimin Abdullah pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Individu bergelar Tan Sri ditahan kes tipu pelaburan RM300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang individu bergelar Tan Sri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan bernilai lebih RM300 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu dicekup selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM semalam.

Menurutnya, lelaki yang merupakan tokoh kewangan Islam itu kemudian ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad.

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu merupakan pemilik sebuah syarikat swasta di ibu negara dan menjalankan kegiatan pelaburan sejak dua tahun lalu. Mangsa yang terlibat dalam kes itu terdiri daripada individu dari seluruh negara.

“Lelaki itu juga menjalankan pelbagai pelaburan kewangan dengan menjanjikan pulangan yang lumayan. Siasatan lanjut mendapati, lelaki itu juga disyaki menyalahguna wang pelaburan yang diambil daripada pelabur,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sebuah hotel di sini hari ini.

Azam memberitahu, selain lelaki berpangkat Tan Sri itu, seorang wanita berusia dalam lingkungan 50-an yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut turut ditahan kelmarin bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurutnya, SPRM sedang menyiasat penglibatan dan peranan wanita itu dalam kes melibatkan pelaburan kewangan yang dipercayai dijalankan oleh lelaki berkenaan.

“Dalam negara kita ini, ramai yang terpedaya dengan skim pelaburan. Jika ada nama syarikat, semak dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terlebih dahulu.

“Jumlah keseluruhan wang pelaburan dalam kes ini dianggarkan bernilai RM300 juta. Setakat ini, kita tidak mendapat maklumat lanjut mengenai jumlah pelabur yang terlibat, tetapi ada individu yang melabur sebanyak RM4 juta dan jumlah itu sangat banyak untuk seorang pelabur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI