PETALING JAYA – Enam individu diberkas melibatkan orang berinsuran serta dalang dipercayai bersekongkol dalam pemalsuan dokumen tuntutan faedah pencen ilat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mereka ditahan menerusi Ops Stroke selepas hasil risikan dan siasatan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 3 September lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, jumlah faedah dibayar akibat tuntutan palsu ini mencecah kira-kira RM220,000.
“Bagaimanapun, tindakan pantas Perkeso berjaya menyekat unjuran kerugian yang lebih besar.
“Sekiranya sindiket pemalsuan dokumen ini tidak ditangani segera, nilai kerugian dianggarkan menjangkau RM3.78 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat integriti keselamatan sosial negara demi kepentingan peribadi.
Dalam masa sama, Mohammed Azman berkata, semua permohonan tuntutan Perkeso adalah percuma dan pencarum hanya perlu berurusan dengan Perkeso bagi mengelakkan mereka dimanipulasi ejen atau sindiket.
“Perkeso sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada unsur manipulasi atau penipuan berlaku, manakala pencarum diseru untuk sentiasa berlaku jujur serta amanah dalam mengemukakan sebarang tuntutan.
“Cubaan untuk mengemukakan dokumen palsu bukan sahaja akan menyebabkan tuntutan ditolak, malah individu terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Katanya, ketirisan dana akibat tuntutan palsu beririsko menjejaskan keupayaan Perkeso untuk menyalurkan bantuan kepada pencarum benar-benar layan dan memerlukan perlindungan. – KOSMO! ONLINE














