fbpx
ABDUL WAHID dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak di ruang tamu rumah serta stor surau di Kluang, tahun lalu.

Guru mengaji ‘sentuh’ budak dalam stor surau, ruang tamu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Seorang guru mengaji al-Quran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan di dalam rumah serta stor sebuah surau, tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Wahid Ahmad, 75, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, pesara itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid perempuan berusia 11 tahun di ruang tamu rumahnya serta stor sebuah surau di Kluang.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 2.30 petang sekitar Februari tahun lalu dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Seksyen 14 (a) dan 14 (b) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa dikatakan enggan ke rumah warga emas itu untuk mengaji walaupun beberapa kali dipujuk oleh ahli keluarganya.

Ahli keluarganya cuba menyoal mangsa dan akhirnya dia menceritakan kejadian sebenar berlaku ke atasnya.

Mangsa memberitahu, kejadian berlaku ketika semua anak murid tertuduh pulang ke rumah sebaik selesai mengaji. Tertuduh juga didakwa mengajak mangsa memasuki stor sebuah surau di hadapan rumahnya untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Paloh, Kluang pada 14 Januari lalu dengan tertuduh ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Farah Yasmin Abd Radzak.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan namun selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 keseluruhan.

Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan serta tidak boleh menganggu atau berhubung dengan saksi pendakwaan termasuk mangsa.

Kes disebut semula pada 9 April ini untuk serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI