KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan atau ‘local content’ dalam setiap perolehan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan langkah berkenaan tiada lagi penglibatan pengeluar peralatan asal (OEM) dalam semua aktiviti penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) bagi aset pertahanan.
Malah katanya, semua aktiviti perkhidmatan MRO mesti dijayakan oleh syarikat tempatan kecuali yang masih dalam tempoh waranti (warranty period) yang boleh dikendalikan oleh OEM sahaja.
“Setiap syarikat tempatan yang terlibat hendaklah menunjukkan inovasi dan penambahbaikan serta dapat meningkatkan peratusan kandungan tempatan serta mengurangkan kos.
“Jika mereka gagal ini, kita akan menghentikan kontrak MRO mereka, walaupun mereka syarikat tempatan kerana matlamat kita adalah untuk mengutamakan kepentingan negara,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Mindef akan membuka semula tender, bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan yang benar-benar mampu berinovasi.-KOSMO! ONLINE














