fbpx
GEGAR Vaganza 12 sudah menemukan juara, Iskandar Ismail yang direstui ramai. Persoalannya, adakah GV akan kekal relevan dengan format sedia ada atau harus berubah warna demi menarik semula perhatian khalayak pada masa akan datang.

Apa nasib Iskandar Ismail, elak tahap bosan ‘next’ GV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAMA 12 minggu menghiburkan peminat setiap hujung minggu, rancangan hiburan nombor satu Astro, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) akhirnya melabuhkan tirai dengan kejuaraan berpihak kepada penyanyi dari Singapura, Iskandar Ismail.

Kemenangan Iskandar yang merupakan juara ketiga dari Singapura selepas Hady Mirza dan Aliff Aziz menepati ramalan ramai memandangkan penyanyi berusia 47 tahun itu konsisten dengan persembahan cemerlang saban minggu.

Kekuatan vokal Iskandar dalam menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi menjadi senjata terhebatnya untuk mengutip markah tertinggi dalam setiap persembahan.

Untuk malam konsert akhir, Iskandar bijak mengatur strategi apabila memilih lagu hebat seperti Madah Berhelah untuk segmen solo dan Senja Nan Merah untuk segmen duet.

Bergandingan pula dengan bekas juara GV9 dan All Stars iaitu Jaclyn Victor, gandingan dua ‘power vocals ‘ itu menghidangkan sebuah persembahan bertaraf lima bintang.

PERSEMBAHAM duet Iskandar dan Jaclyn Victor di pentas akhir GV12 sebenarnya awal-awal menempah tiket kejuaraan buat Iskandar.

Jadi tidak hairanlah apabila juri tetap dari Indonesia, Hetty Koes Endang menggelarkan Iskandar sebagai seorang penyanyi yang bijak dan menggesanya segera menghasilkan album atau lagu baharu.

Iskandar pula menyifatkan penyertaannya dalam GV12 sebagai salam pengenalan buat peminat di Malaysia. Sebelum ini sudah lama dia bercadang untuk mengembangkan karier nyanyiannya di Malaysia, namun rezeki belum berpihak kepada.

Kemenangan dalam GV12 sekali gus memberi tiket emas buat anak kepada penyanyi veteran Allahyarham R. Ismail itu mencorak laluan menapak dalam industri muzik Malaysia.

“Jika saya berjaya menembusi pasaran muzik di sini, saya berjanji akan bekerja keras. Impian ini sudah lama saya idamkan sejak dahulu lagi.

“Siapa sangka langkah pertama saya di sini bermula dengan GV12. Saya sangat-sangat berterima kasih dengan pihak produksi juga pihak pengurusan iaitu Mind Order.

“Saya juga sangat menghargai pihak media di sini yang sentiasa memberikan sokongan sejak dari hari pertama lagi,” katanya.

Ditanya apa yang akan dilakukan dengan wang kemenangan sebanyak RM100,000, Iskandar bercadang untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

PERSEMBAHAN Yuri dan Sunu dilihat tidak mencapai standard duet yang sepatutnya.

Sementara itu bagi naib juara, trio Mendua yang mewakili Indonesia berbangga kerana menjadi peserta pertama tanah republik itu yang meraih gelaran naib juara.

“Selama 18 tahun tidak bersama, GV12 kembali mempertemukan kami bertiga. Alhamdulillah kami masih serasi biarpun masing-masing sudah lama tidak berjumpa dan sibuk dengan komitmen hidup masing-masing.

“Mendapat tempat kedua sudah cukup membahagiakan untuk kami. Kami gembira dapat belajar banyak perkara baru juga dapat berkenalan dengan ramai sahabat baru dalam GV12.

“Pelbagai cabaran yang kami lalui dalam GV12 termasuk menghadapi kehilangan orang yang tersayang juga harus menyanyikan lagu-lagu yang berlainan genre.

“Insya-Allah selepas ini kami akan terus aktif sebagai penyanyi,” kata Mendua yang dianggotai Pungky, Diana dan Icha.

Seorang lagi peserta yang diramalkan sebagai calon yang berpotensi untuk menjadi juara iaitu Nubhan harus akur dan berpuas hati dengan kemenangan di tempat ketiga.

Baginya, tempat ketiga sudah cukup membanggakan kerana sasaran asal adalah untuk melangkah ke peringkat akhir.

Datuk Jamal Abdilllah turut muncul menghangatkan pentas akhir GV12.

“Ini semua rezeki Allah. Tempat ketiga sudah cukup baik untuk saya. Untuk bertahan dalam pertandingan ini bukan mudah. Saya hanya sasar ke pentas akhir. Kalau menang itu bonus.

“Yang penting GV12 memberi saya platform untuk kembali menyerlah dalam bidang nyanyian. Dan saya sudah pun melancarkan single baharu berjudul Andai Derita,” ujarnya.

Menanyakan juri alasan Nubhan jatuh ke tempat ketiga, Datuk Syafinaz berkata pemilihan lagu duet memainkan peranan.

“Pemilihan lagu yang salah. Kita mahu peserta yang menonjol sebaliknya dalam persembahannya mereka, Aina yang lebih menonjol,”jelasnya Syafinaz.

Peserta asal Filipina, Mark Adam pula berada di tempat keempat. Namun Mark mencipta rekod tersendiri apabila menjadi satu-satunya peserta yang memenangi anugerah mingguan Ikon Semangat Celcom Digi selama 11 minggu berturut-turut.

Mell Sakura pula mampu berbangga dengan pencapaiannya di tempat kelima selepas menunjukkan peningkatan dan mendapat pujian sewaktu konsert akhir. Sementara Ruri Republik pula terpaksa berpuas hati di tempat keenam.

Ditanya tentang persembahan duet Ruri bersama Sunu Matta Band yang dilihat seperti tidak berduet, kata Ramli dia sendiri tidak faham kenapa situasi menjadi sedemikian rupa.

“Dia kelihatan seperti menyanyi seorang diri. Boleh dikatakan 90 peratus persembahan duet itu dia yang menyanyi. Saya juga tak tahu kenapa jadi begitu,” jelasnya.

Sebagai juri, Ramli bercadang mengubah format GV pada masa akan datang.

Bercakap tentang masa depan Gegar Vaganza, Ramli bercadang membuat peraturan baharu jika program mara ke musim ke-13.

“Biar kami yang pilih lagu. Mereka hanya diberi peluang untuk menyanyi lagu pilihan sendiri pada minggu pertama sahaja.

“Tetapi kita akan beri lagu mengikut kemampuan peserta. Kita tak akan bagi lagu di luar kemampuan mereka. Itu ‘perdajal’ namanya,” jelas Ramli.

Tambah Ramli lagi, sekiranya setiap peserta tidak tahu lagu apa yang akan dinyanyikan untuk minggu seterusnya, reaksi mereka lebih ‘real’ dan perkara itu menarik untuk dipertontonkan dalam televisyen.

“Saya beri contoh sewaktu minggu Fun Fair Tok Ram. Peserta tak tahu lagu apa yang mereka akan dapat. Bila mereka dapat lagu tu, ada yang terkejut, ada yang buat muka macam tak suka.

“Sebelum itu semua ‘propa’ sebab mereka sudah tahu lagu yang mereka pilih sendiri. Bila mereka dapat lagu yang mereka tak biasa menyanyi, mereka akan bekerja lebih keras.

“Sudah 12 tahun buat GV, kalau benda yang kita boleh ‘predict’ berlaku setiap tahun, lama-lama orang akan bosan. Begitu juga saya,” katanya.

FADLY Padi memuji penerbitan GV yang memberi peluang penyanyi-penyanyi senior kembali menyengat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN