HOBI menjaga kucing sering dianggap mudah. Namun hakikatnya, hobi itu menuntut komitmen masa, emosi dan kewangan yang berterusan.
Biarpun dikelilingi wajah comel dan tingkah laku manja, namun pencinta kucing berdepan rutin harian yang tidak pernah berhenti, terutama apabila jumlah haiwan itu semakin bertambah.
Bagi Nur Ain Farihah Mahamad Dom, realiti itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian apabila rumah keluarganya di Kelana Jaya, Selangor kini menempatkan 39 ekor kucing.
“Saya mula memelihara kucing sekitar 2019, pada awalnya hanya dua ekor kucing dipelihara.
“Ketika itu, pengetahuan saya tentang penjagaan kucing masih terhad dan sekadar memberi makan serta menyediakan tempat berlindung.
“Namun tanpa disedari, jumlah kucing di rumah saya semakin bertambah apabila kucing jalanan mula datang.
“Ada yang dibuang di hadapan rumah dan ada juga ditemui di sekitar kawasan awam,” katanya kepada K-Remaja.
Untuk makluman, hampir semua kucing dipeliharanya adalah jenis kampung, kecuali dua ekor kucing baka British Shorthair yang diterimanya sebagai hadiah.
Bagi mengawal populasi, kebanyakan kucingnya telah dimandulkan.

Namun, hanya ada satu kes ‘terlepas’ sehingga menyebabkan kelahiran beberapa ekor anak kucing.
Kini, semua kucing itu dibahagikan kepada dua tempat iaitu di dalam rumah dan ruang luar yang disediakan khas.
Pembahagian itu dibuat berdasarkan karakter kucing, di mana yang jinak dan berani dilepaskan di luar rumah.
Sementara kucing yang penakut ditempatkan di dalam rumah.
Kongsi wanita berusia 20-an itu, rutin harian keluarganya bermula sejak awal pagi dengan penyediaan makanan dan melakukan kerja pembersihan.
“Kucing-kucing ini diberi makan dua hingga tiga kali sehari dengan penggunaan alat pemberi makanan automatik.
“Aspek kebersihan turut diberi perhatian dengan penggunaan pelbagai jenis pasir kucing, termasuk pasir tofu, kristal dan pelet kayu.
“Jenis-jenis pasir ini dipilih mengikut kesesuaian lokasi dan keperluan kucing,” katanya.
Sementara itu, kos perubatan, vaksin, makanan dan rawatan berterusan memerlukan perbelanjaan yang tinggi, apatah lagi apabila ada kucing sakit.
Cerita Nur Ain Farihah, dia pernah berdepan situasi kehilangan beberapa ekor kucing sekali gus akibat jangkitan virus.
Ujarnya, ia satu pengalaman yang menguji emosi dan ketabahannya sebagai pencinta kucing.
Namun, pengalaman itu juga menjadikannya lebih berpengetahuan dalam mengesan tanda-tanda awal penyakit serta mengambil langkah pencegahan.
Biarpun tidak aktif di media sosial atau terlibat dalam pertandingan kucing, namun wanita yang kini bergelar pembantu veterinar itu lebih selesa menjalani peranan secara senyap.
“Bagi saya, kepuasan sebenar bukan terletak pada perhatian atau pengiktirafan.
“Jadi, saya tidak terfikir untuk sertai mana-mana pertandingan atau membuka media sosial khas untuk kucing-kucing ini.
“Sebaliknya, kebahagiaan itu datang apabila melihat kucing-kucing yang dahulunya terbiar kini hidup sihat, selamat dan penuh kasih sayang,” katanya.














