PUTRAJAYA – Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah bagi mendengar perbicaraan kes rasuah dan rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, sebagai permulaan, penubuhan mahkamah itu akan dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Inisiatif itu dipersetujui oleh Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 semalam.
Seri Paduka Baginda bertitah berhubung keperluan menyediakan hakim berpengalaman untuk mendengar kes rasuah dan menyediakan laluan khas supaya perbicaraan dapat diselesaikan dengan segera.
Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Badan Kehakiman Malaysia dalam memperkukuh integriti sistem kehakiman selain memastikan perbicaraan kes rasuah dijalankan secara cekap, telus dan berkesan demi kepentingan keadilan dan negara.
“Pada masa ini, tedapat sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di seluruh negara bagi mendengar kes rasuah dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh srtahun dari tarikh pendaftaran,,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam Sultan Ibrahim menzahirkan amaran keras terhadap golongan yang terlibat dengan amalan rasuah dengan menyifatkan mereka sebagai pengkhianat negara yang mesti diperangi secara besar-besaran.
Selain itu, Sultan Ibrahim menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk bertindak lebih pantas dan tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang.
Baginda turut mencadangkan kerajaan menyediakan laluan khas di mahkamah dan hakim yang berpengalaman supaya kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera tanpa tertangguh. – KOSMO! ONLINE














