fbpx
Gambar hiasan.

Datuk, anak lepas tanpa pertuduhan kes eksploitasi dua amah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tiada pertuduhan dikenakan terhadap dua beranak termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang sebelum ini diberkas kerana disyaki mengeksploitasi dua amah warga Indonesia dalam serbuan di sebuah rumah di Kayangan Heights di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Untuk makluman, kes ATIPSOM tersebut telah dirujuk kepada pihak pendakwaan dan arahan tiada pertuduhan dikeluarkan terhadap tangkapan berkenaan.

“Dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Selangor di untuk tindakan penghantaran pulang ke negara asal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kosmo! pada 20 Disember lalu melaporkan, tindakan seorang ahli perniagaan dan anaknya dipercayai mengeksploitasi dua amah warga Indonesia sejak dua tahun lalu terbongkar selepas diberkas dalam serbuan di sebuah rumah, di sini.

Penahanan dua beranak yang merupakan wanita berusia 30 dan 50-an itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang pada 18 Disember lalu.

Kedua-duanya kemudiannya direman tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan mendapati, dua amah berkenaan telah bekerja dengan majikan berkenaan antara sebulan hingga dua tahun.

Mangsa juga mendedahkan telefon bimbit dan pasport mereka telah dirampas oleh majikan dan dipaksa bekerja lebih masa serta sering dipukul selain tidak dibayar gaji selama dua bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI