PETALING JAYA – Kulit wajah yang kelihatan terlalu berkilat dan licin seperti plastik bukanlah tanda kulit sihat seperti yang disangka ramai.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, keadaan tersebut berkemungkinan berpunca daripada penggunaan krim pemutih tidak berdaftar yang mengandungi bahan terlarang seperti merkuri dan ‘hydroquinone’.
“Itu tanda kulit sudah terlalu nipis dan ‘hilang perisai’. Bila kulit semakin menipis, tekstur semula jadi hilang, kulit menjadi sangat sensitif dan mudah memantulkan cahaya sehingga kelihatan berkilat luar biasa,” katanya.
Jelas PHM, penggunaan bahan berbahaya itu menyebabkan lapisan perlindungan semula jadi kulit rosak, sekali gus menghasilkan kesan licin dan putih melepak yang kelihatan tidak semula jadi.
“Bukan kilat sebab peluh. Kilat dia lain macam, licin dan nampak seperti ada lapisan ‘glow’ (bersinar) yang tidak asli,” tambahnya.
Menurut PHM, kesan penggunaan krim berkenaan bukan sahaja merosakkan kulit, malah boleh menjejaskan kesihatan dalaman kerana merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan.
“Isu ini bukan sekadar muka rosak. Merkuri dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf,” ujarnya.
Dalam masa sama, penggunaan ‘hydroquinone’ dalam jangka panjang pula boleh menyebabkan masalah pigmentasi biru kehitaman yang sukar dipulihkan, dikenali sebagai ‘exogenous ochronosis’.
Lebih membimbangkan, PHM memaklumkan ada pengguna mengalami keadaan kulit menjadi lebih gelap daripada asal selepas berhenti menggunakan krim berkenaan akibat sensitiviti melampau terhadap cahaya matahari.
“Bila berhenti pakai, ada yang terus jadi lebih hitam kerana pigmen naik mendadak. Ada juga kes yang menjadi gelap kekal,” katanya.
Menurutnya, golongan yang terdedah kepada produk tersebut kebanyakannya bekerja di kawasan panas dan sepatutnya memerlukan perlindungan kulit yang betul, bukan menggunakan krim pemutih berbahaya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran produk kosmetik sebelum digunakan serta mengelakkan krim bungkus semula atau produk yang tidak mempunyai maklumat jelas.
“Kulit sihat bukan kulit yang licin macam cermin. Kulit sihat ada tekstur, ada pori dan yang paling penting, tidak memudaratkan badan secara senyap,” katanya. – KOSMO! ONLINE














