JAKARTA – Satu video tular di media sosial Indonesia memaparkan sekumpulan penduduk sebuah kampung di Aceh Tenggara, wilayah Aceh menyerbu dan melempar batu ke arah jentera bomba kerana berang hos air gagal berfungsi, lapor laman berita Laros Media semalam.
Kejadian berlaku kelmarin apabila sepasukan anggota bomba dari Kutacane dikerahkan ke Kampung Kota Kutacane bagi membantu memadamkan kebakaran melibatkan 11 buah rumah.
Namun, sejurus tiba untuk memadam api marak, air daripada hos tidak dapat dikeluarkan.
Ia menyebabkan penduduk berasa marah kerana bomba tidak dapat membantu mereka memadam kebakaran.
“Air tiada! Tidak boleh (padam), tidak boleh,” jerit seorang penduduk dalam video yang dirakam.
Sejumlah individu lain kemudian dilihat menyerbu jentera bomba lalu mengetuk dan menendang badan kenderaan itu.
Ketika ia dipandu pergi, mereka mengambil batu lalu melempar ke arah jentera bomba tersebut.
Jabatan Bomba Kutacane kemudian mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu dan berkata, jentera bomba mengalami masalah teknikal.
“Kerosakan berlaku pada tuil operasi, menghalang air daripada dilepaskan dengan betul,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pencegahan Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Aceh Tenggara, Zainal Abidin berkata, agensinya telah mengerahkan sembilan unit bomba untuk mengawal kebakaran tersebut.
“Berdasarkan maklumat awal daripada orang ramai, kebakaran disyaki berpunca daripada pembakaran sampah yang tidak diselia.
“Angin kencang pada masa kejadian menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat ke rumah penduduk, yang kebanyakannya dibina daripada bahan separa kekal,” katanya sambil menambah, 11 rumah hangus terbakar. – AGENSI














