fbpx
Li Juan ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar yang berlangsung di Wisma MCA, hari ini.

Wanita warga China terjerat cukai lebih RM840,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga China mendakwa menjadi mangsa penyalahgunaan identiti selepas namanya didaftarkan sebagai pembayar cukai tanpa pengetahuan sehingga menyebabkan tunggakan cukai mencecah lebih RM840,000.

Mangsa, Li Juan, 43, yang pernah bekerja sebagai pengurus jualan dan pemasaran
di sebuah kedai runcit milik warga China di Jalan Kuchai Lama, mendakwa hanya menyedari perkara itu ketika memohon pembaharuan visa kerja pada 29 Disember 2025.

Menurut Li Juan, semakan menerusi aplikasi MyTax mendapati terdapat tunggakan cukai sebanyak RM842,118.84 atas namanya bagi tempoh 2022 hingga 2023, meskipun dia tidak pernah memohon Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau mengemukakan sebarang pengisytiharan cukai.

“Hasil semakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati sebuah syarikat telah mengisytiharkan kos buruh palsu berjumlah RM1.75 juta menggunakan nama saya tanpa kebenaran,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, hari ini.

Li Juan mendakwa bekas majikannya dipercayai menyalahgunakan salinan pasport yang diserahkan bagi tujuan pekerjaan untuk mendaftarkan TIN dan mengemukakan pemfailan cukai palsu di LHDN Terengganu.

Dia menjelaskan, sepanjang tempoh bekerja dari 1 November 2022 hingga 15 Disember 2023, gaji bulanannya hanyalah RM10,000, dibayar melalui aplikasi WeChat dengan jumlah keseluruhan diterima sekitar RM93,235.

“Jumlah itu jauh berbeza dengan pendapatan RM1.7 juta yang direkodkan oleh pihak cukai. Saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atau menerima wang sebanyak itu,” katanya.

Akibat kes tersebut, Li Juan mendakwa namanya disenarai hitam dan tidak dibenarkan meninggalkan negara, sekali gus menghalangnya pulang ke China untuk menemui keluarga termasuk ibunya yang sedang sakit.

Tambahnya, cubaan menghubungi bekas majikan bagi mendapatkan penjelasan gagal apabila tiada sebarang maklum balas diterima sehingga kini.

Susulan itu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada 31 Disember 2025 dan memohon pihak berkuasa termasuk LHDN, polis serta jabatan berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh.

“Saya hanya seorang pekerja biasa, tetapi kini menanggung beban hutang cukai yang bukan milik saya. Saya mohon keadilan dapat diberikan kepada saya,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI